Al-Izz bin Abdussalam, Sultan Qutuz dan GST
- Jan 09, 2014
- KHALIL ABDUL HADI
Kita selalu mendengar ungkapan; ulama adalah pewaris nabi-nabi. Ungkapan yang dipetik daripada hadis Nabi SAW sebagai satu simbol peranan yang mesti dimainkan oleh para ulama sepanjang zaman. Iaitu memainkan peranan nabi-nabi sebagai penegak kebenaran agama Allah di mana-mana sahaja berada. Ulama bukan sahaja dengan adanya ilmu di dada, ulama bukan sahaja dengan adanya sijil berjela-jela, ulama yang sebenar ialah mereka yang menyampaikan ilmu petunjuk Allah, beramal dan berjuang untuk menegakkan agama-Nya di tengah-tengah masyarakat termasuk berdepan dengan kerajaan pada zaman masing-masing tanpa takut celaan orang yang mencela.
Sebaik-baik contoh ulama yang patut diambil teladan ialah mereka yang telah mati di dalam perjuangan, orang yang masih hidup belum lagi diketahui kesudahannya. Di sini saya tertarik dengan kisah perjuangan seorang ulama yang terkenal lebih daripada lapan abad yang lalu beliau ialah Al-Izz bin Abdussalam. Beliau bukan sahaja seorang ulama yang alim di dalam ilmu-ilmu Islam dalam masa yang sama beramal dengan ilmunya dan berjuang untuk menegakkan uagama Allah pada zamannya.
Al-Izz bin Abdussalam ialah Abu Muhammad Izzuddin Abdul Aziz bin Abdussalam dilahirkan di Damsyik pada tahun 577 H. Beliau hidup pada zaman umat Islam berada dalam keadaan lemah akibat terpesona dengan kemewahan dunia dan pertelingkahan sesama sendiri sehingga jatuhnya beberapa wilayah di tangan tentera salib. Beliau merupakan seorang ulama yang terkenal dalam pelbagai lapangan ilmu khususnya fiqh dalam mazhab Syafie. Antara karangan beliau yang masyhur ialah kitab Qawaidul al-Ahkam fi Masalihilanaam. Akan tetapi beliau lebih dikenali dengan keberanian dan ketegasannya di dalam hukum-hakam agama.
Pengaruhnya sangat kuat di dalam masyarakat; pernah berlaku, beliau telah memberikan fatwa di dalam satu khutbah yang disampaikan olehnya di Jami' Umawi yang mengharamkan penjualan senjata kepada orang-orang Kristian kerana mereka menggunakannya untuk menyerang umat Islam. Fatwanya ini tidak disenangi oleh kerajaan kerana ia perniagaan yang menguntungkan kroni-kroni di zaman itu, lalu beliau dilarang untuk memberikan khutbah. Tindakan ini menyebabkan kebangkitan rakyat berdiri di belakangnya sehingga kerajaan terpaksa melantiknya kembali sebagai pengkhutbah di masjid yang sangat terkenal itu.
Pada zamannya umat Islam bukan sahaja diuji di dalam Perang Salib bahkan juga mereka berdepan dengan keganasan tentera Tatar yang melakukan kerosakan dengan pembunuhan yang membuta tuli, merobohkan masjid-masjid dan menghancurkan kitab-kitab yang dikarang oleh ulama dengan menghumbankannya di dalam sungai Furat untuk dijadikan jambatan, sehingga airnya bertukar menjadi hitam kerana dakwat yang keluar daripadanya. Setelah kota Baghdad jatuh di tangan mereka, kota-kota Islam lain pula dijadikan sasaran.
Umat Islam berada dalam keadaan yang terumbang-ambing, yang tinggal hanya kerajaan-kerajaan Islam yang masih lagi bertahan antaranya ialah kerajaan Islam Mamalik yang dipimpin oleh sultan-sultan yang terkenal dengan pemerintahan yang zalim, lupa daratan dengan menjadikan amanah kepimpinan sebagai wasilah untuk mengumpul kekayaan, harta benda negara digunakan untuk berfoya-foya. Di antara sultan-sultan ini ialah Sultan al-Muzaffar Saifuddin Qutuz yang telah berjaya menyatukan mereka dengan menjadikan Mesir sebagai pusat pemerintahan.
Al-Izz bin Abdussalam mengajak umat Islam supaya bangkit berjihad pada jalan Allah untuk menghalang kemaraan tentera Tatar, seruannya ini disahut oleh Sultan Qutuz lalu beliau mengeluarkan arahan supaya cukai diambil daripada rakyat untuk menampung kos perbelanjaan perang. Arahannya ini disokong oleh ulama-ulama yang memberikan fatwa keharusannya di atas alasan darurat, kerana hukum asal mengambil cukai daripada rakyat adalah dilarang sama sekali. Di dalam satu majlis yang dihadiri oleh Sultan Qutuz, A-Izz bin Abdussalam menyatakan dengan tegas adalah haram sama sekali kepada kerajaan untuk mengambil cukai daripada rakyat selagi harta negara masih ada dan wajib diambil harta kekayaan daripada sultan yang ada di istana-istana dan harta menteri-menterinya dahulu sebelum diambil daripada rakyat.
Bahkan batang tubuh sultan juga mesti dijual kerana beliau ialah seorang hamba. Seorang ulama yang berada di dalam majlis itu menyingsingkan jubahnya kerana takut percikan darah Al-Izz bin Abdussalam terkena padanya jika sultan memenggal kepalanya. Beliau membawa sultan ke pasar untuk dijual tetapi tiada siapa yang mahu membelinya dan akhirnya beliau dikekalkan jawatannya sebagai sultan. Keberanian yang ditunjukkan oleh ulama ini telah menjadi inspirasi kejayaan umat Islam mengalahkan tentera Tatar di dalam peperangan Ain Jalut yang berlaku pada bulan Ramadhan. Jasa yang dilakukan oleh Al-Izz bin Abdussalam ini sehingga beliau digelar sebagai Sultan Ulama dan Penjual Sultan.
Sejarah yang lalu tidak ada bezanya dengan apa yang berlaku kepada umat Islam di zaman ini. Watak adalah sama cuma pelakonnya sahaja berbeza. Sifat tamak dan salahguna kuasa oleh golongan pemerintah wujud di sepanjang zaman.
Saya teringat kisah sejarah ini apabila melihat suasana yang berlaku di dalam negara kita pada hari ini. Setiap lapisan rakyat membicarakan soal kesempitan hidup akibat daripada kenaikan kos sara hidup yang begitu ketara. Kenaikan harga barang keperluan, tol, tariff elektrik dan GST menjadi tajuk perbualan utama.
Daripada rakyat yang tinggal di kampung-kampung sehinggalah kepada golongan cendekiawan, mufti dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan.
Himpunan TURUN oleh anak muda yang diadakan pada malam sambutan tahun baru yang lepas adalah satu bentuk luahan perasaan akibat kesempitan hidup yang berlaku. Mereka bukannya mahu menggulingkan kerajaan dengan cara yang dimomokkan oleh media walaupun kerajaan yang dipilih masih dipersoalkan oleh rakyat dari segi moralnya.
Kerajaan yang ada pada pada hari ini tidak amanah di dalam menggurus kekayaan negara. Saban tahun laporan audit negara yang dikeluarkan mendedahkan ratusan juta ketirisan dan penyelewangan harta rakyat.
Adalah zalim meletakkan pelbagai bebanan bayaran, cukai, peraturan kewangan ke atas rakyat dalam masa yang sama kewangan negara diurus dengan penuh pembaziran, ketirisan dan salah guna kuasa. Pada saat rakyat diajak supaya berjimat cermat pemimpin-pemimpin negara bermewah-mewah dengan parti-parti. Jika ulama diam membisu dan hanya menjadi pak angguk biarlah anak muda bangkit untuk memberikan nasihat dan teguran kepada kerajaan.
Jikalau Al-Izz bin Abdussalam mengfatwakan supaya harta benda pemimpin negara dilelongkan untuk meringankan beban rakyat, saya tertunggu-tunggu mufti-mufti di Malaysia memberikan fatwa supaya pemimpin negara melelongkan harta benda mereka untuk meringankan beban rakyat. Bila agaknya ianya akan berlaku?
Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Sumber HD - 9-1-2014
Haram Ikhwan Muslimin: Petanda Islam menang makin hampir
- Jan 04, 2014
- MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Apabila gerakan Ikhwan Muslimin yang bertapak di Mesir sejak sembilan dekad yang lalu menjadi penggerak utama kepada kebangkitan gerakan Islam di seluruh dunia Islam, ini mestilah dibendung supaya kepentingan Zionis di negara haram Israel terus terpelihara dengan menggunakan kuasa-kuasa Barat sejak di zaman British sehinggalah Soviet Union dan Amerika Syarikat.
Mimpi ngeri yang pernah diucapkan oleh Ehud Barak, bekas Perdana Menteri Israel lebih dua dekad yang lalu kini menjadi kenyataan; beliau pernah menyebut setelah kejatuhan Soviet Union, bahaya kepada dunia bukan lagi bahaya merah tetapi bahaya hijau, yang dimaksudkan dengan bahaya hijau ialah kebangkitan Islam khususnya gerakan yang mahu mengembalikan Islam di tampuk pemerintahan.
Perkembangan yang berlaku ini adalah manifestasi kepada Islamophobia yang melanda dunia Barat pasca peristiwa 11 September. Fenomena Islamophobia bertukar menjadi Gerakan Islamophobia; Barat cuba menakutkan umum bahayanya Gerakan Islam dengan menggunakan berbagai cara untuk menyekat kemaraannya.
Adakala dikaitkan dengan gerakan pengganas, lebih kerap lagi melabelkannya sebagai golongan yang anti kebebasan dan mahu melaksanakan hukum syariah yang disifatkan sebagai menggundur kebelakang, kejam dan ekstrem.
Strategi menggunakan boneka di negara-negara umat Islam menjadi senjata makan tuan. Satu persatu kerajaan yang berkiblatkan Barat tumbang. Sepatutnya Barat mengambil pendekatan terbuka dengan memberikan peluang kepada Gerakan Islam memerintah dengan stabil bukannya menjadi talam dua muka.
Di saat Barat melaungkan dukungannya kepada demokrasi tetapi redha dengan Kudeta di Mesir dan pelanggaran hak-hak asasi manusia yang dilakukan oleh pihak tentera dan konco-konconya.
Baginya kepentingan Israel dan pihak Barat lebih diberikan keutamaan daripada beratus nyawa yang gugur di medan Raabi'ah.
Ramai sudah menjangka Ikhwan Muslimin akan diharamkan dan ini bukanlah kali pertama ianya diharamkan bahkan kebanyakan masanya bergerak secara senyap di bawah tanah.
Di zaman Jamal Abdul Naseer gerakan Ikhwan Muslimin dituduh menjadi dalang perancangan membunuhnya, perancangan yang akhirnya didedahkan oleh pengikut-pengikut setianya adalah lakonan semata-mata untuk menaikkan imej beliau di mata rakyat.
Natijah daripadanya ratusan ahli Ikhwan Muslimin yang diseksa dengan begitu dahsyat, ada antaranya yang digantung kakinya dan diseksa supaya mengaku melakukan perancangan lakonan ini.
Di zaman Anwar Sadat walaupun peranan Ikhwan Muslimin sangat besar di dalam perang menentang pengganas Israel khususnya perang Ramadhan atau Oktober yang menyaksikan kekalahan teruk tentera Israel di bawah pimpinan Jeneral Sa'duddin Syazzili. Akan tetapi jasa Ikhwan Muslimin dibalas dengan tekanan dan pengharaman Ikhwan Muslimin, semata-mata tidak mahu gerakan ini menggugat kuasa pemerintahan tentera.
Dengan termeterainya perjanjian Camp David mengukuhkan lagi kedudukan tentera hasil daripada perancangan Barat khususnya Amerika Syarikat. Antara isi perjanjian ini tentera AS akan melatih tentera Mesir secara tetap, mereka yang terpilih sahaja yang dihantar antaranya General Abdul Fattah As-Sisi.
Sekarang ini peranan beliau pula untuk berdepan dengan Ikhwan Muslimin, sekali lagi gerakan ini diharamkan dan lebih daripada itu lagi meletakkannya di dalam senarai kumpulan pengganas dengan alasan ianya terlibat di dalam beberapa siri serangan bersenjata dan bom yang mengorbankan sebilangan anggota keselamatan dan orang awam.
Pihak Ikhwan Muslimin menafikan dengan sekeras-kerasnya dan menegaskan bahawa wasilah perjuangannya ialah dengan cara aman bukannya kekerasan. Tindakan yang diambil seperti skrip yang sudah diatur.
Sehingga hari ini siri-siri kekacauan termasuklah serangan bom terus dilaporkan oleh media-media pro Kudeta dan semua tuduhan ditujukan terhadap Ikhwan Muslimin. Pepatah arab ada menyebut yang bermaksud; ' Dia memukul aku dan dia yang mengadu dipukul'. Inilah realiti yang sedang berlaku di bumi Mesir, pihak Kudeta yang menuduh Ikhwan Muslimin sebagai pengganas merekalah sebenarnya pengganas yang membunuh rakyat sendiri, menangkap, memenjara, menakut dan menyeksa lalu mengadu mereka dituduh sebagai pengganas.
Pertembungan yang berlaku sekarang ialah antara pihak yang menyokong kudeta dan rakyat yang mahukan kepada perubahan, bukannya antara kerajaan dan Ikhwan Muslimin. Kenapa Ikhwan Muslimin begitu ditakuti? Adakah pemimpinnya penjenayah yang membunuh dan merompak harta benda awam ?
Ikhwan Muslimin adalah gerakan tajdid dan islah yang berjuang untuk mengembalikan umat Islam supaya berpegang dengan ajaran Islam yang syumul merangkumi kesemua aspek daripada ibadah sehinggalah kepada pemerintahan negara.
Pendekatannya ialah dengan jalan aman melalui sistem demokrasi pilihanraya walaupun dengan menggunakan pelbagai nama-nama parti, yang terakhir dengan nama FJP (Freedom and Justice Party) yang memperoleh kemenangan besar dalam pilihanraya yang lepas sehingga berjaya menghantar ahlinya, Mohammed Mursi menjadi presiden pertama yang dipilih dengan demokrasi pilihanraya yang telus.
Inilah kesalahannya sehingga ianya dikenakan tindakan sebegitu rupa. Ikhwan Muslimin bergerak bersama nadi rakyat yang dihimpit dengan sistem yang zalim dan kejam. Kerja-kerja da'wah, pendidikan dan kebajikan adalah intipati gerakannya.
Ikhwan Muslimin telah melalui mehnah yang sangat dahsyat di sepanjang sejarahnya. Ramai pemimpinnya yang dibunuh samaada dengan cara assasin seperti pengasasnya As-Syahid Imam Hasan Al-Banna atau dihukum gantung sampai mati seperti As-Syahid Syed Qutb, As-Syahid Abdul Qadir Awdah dan ramai lagi.
Ribuan ahlinya dipenjarakan dan diseksa semenjak dari zaman Jamal Abdul Naseer sehinggalah zaman Husni Mubarak. Ribuan lagi yang terpaksa hidup di dalam buangan, berhijrah di serata dunia.
Walaupun melalui mehnah yang begitu dahsyat, ianya sedikit pun tidak mengurangkan pengaruhnya di kalangan rakyat Mesir bahkan sokongan rakyat kepadanya makin bertambah. Pihak kerajaan Kudeta serba salah berdepan dengan situasi ini kerana sokongan yang didambakan daripada rakyat tidak seberapa.
Sehingga kini sebilangan besar pimpinan Ikhwan Muslimin dipenjarakan dan dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan yang direka-rekakan dan ratusan lagi ahli-ahlinya yang ditahan. Presiden Mohammad Mursi yang masih berada di dalam tahanan diubah tuduhan ke atasnya dengan dikaitkan tuduhan jenayah yang boleh dijatuhkan hukuman mati.
Saya sangat yakin mehnah yang dilalui oleh Ikhwan Muslimin akan dapat ditempohi dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan. Barangkali mehnah ini adalah petanda kemenangan yang lebih besar umpama ibu yang kesakitan untuk melahirkan anak, setelah anak dilahirkan terserlahlah kegembiraan.
Penulis ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Sumber HD - 4-1-2014
Abdul Quader Molla mangsa kezaliman politik
- Dec 16, 2013
- HARAKAHDAILY
As-Syahid yang asalnya dihukum penjara seumur hidup telah dibicarakan semula oleh mahkamah Bangladesh yang dirancang oleh pihak sekular untuk menyekat dan mematikan gerakan Islam tersebut di Bangladesh.
“Akibat perancangan jahat ini, as-syahid menjadi mangsa kezaliman politik,” ujar Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu kenyataan.
Justeru, tegasnya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengecam tindakan zalim tersebut dan mendesak kerajaan Malaysia untuk turut memberikan tekanan politik kepada kerajaan Bangladesh agar menghentikan tindakan hukuman kejam seperti itu.
Katanya, jika benar kerajaan Malaysia ingin menjadi watak utama dalam membela umat Islam seluruh dunia, DPPM mendesak kerajaan Malaysia hari ini untuk turun bersama-sama menyelamatkan pejuang-pejuang Islam di tempat lain khususnya di Bangladesh.
Sumber HD - 16-122-2013
Najib sekadar 'main wayang' undang Khaled Mesha'al
- Dec 09, 2013
- HARAKAHDAILY
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, jika benar Umno isu Palestin, kenapa sejak sekian lama, tiada kenyataan rasmi dari kerajaan Malaysia mengiktiraf Hamas sebagai kerajaan sah di Gaza.
Katanya, sebagai sebuah parti yang memerintah tidak memadai dengan hanya menjemput tokoh besar Hamas ini menghadiri perhimpunan agung semata-mata sedangkan tindakan yang sepatutnya dilakukan ialah mengiktiraf Hamas sebagai sebuah pertubuhan yang sah di saat ianya dilabel sebagai kumpulan anti demokrasi dan juga mempunyai hubungan dengan rangkaian pengganas antarabangsa.
Lebih daripada itu lagi katanya Malaysia sepatutnya menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan Gaza yang dipimpin oleh Hamas, kerajaan yang sah yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya.
"Kami ngin menegaskan lagi, sekiranya Umno ikhlas dengan kehadiran Khaled Mesha'al dan Hamas, DPPM mencabar Kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengiktiraf Hamas sebagai kerajaan yang sah di Gaza.
"Tanpa pengiktirafan ini, kami beranggapan Umno hanyalah mengeksploitasi Khalid Mesha'al sebagai alat agar Umno dilihat sebuah parti pro-Islam dan pro-Palestin di mata rakyat Malaysia beragama Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau lagi, banyak lagi pihak-pihak lain yang melakukan usaha-usaha di dalam memperjuangkan isu Palestin sama ada parti politik atau NGO, malah lebih dekat dengan Hamas sejak sekian lama.
Najib ketika ucapan penggulunganya semalam turut mendedahkan bahawa Khaled Mesha'al ada memberitahunya yang beliau hanya mengenali PAS berbanding Umno ekoran hubungan erat kedua-dua gerakan Islam itu sejak sekian lama.
Sumber HD - 9-12-2013
Islam: Rahmat untuk semua
- Nov 30, 2013
- MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Maka kita membawa satu tema untuk menunjukkan bahawa Islam adalah satu rahmat.
Kalimah 'RAHMAH' disebut lebih daripada lapan puluh kali di dalam Al-Quran.
Perutusan Nabi Muhammad s.a.w kepada manusia adalah satu rahmat daripada Allah kerana manusia berhajat kepada nabi untuk menunjukkannya jalan yang benar lebih daripada hajatnya kepada makanan, minuman dan harta benda.
Islam rahmat untuk semua kerana syariatnya yang mudah. Mudah untuk diamalkan dan diberikan kelonggaran untuk melaksanakannya. Ibadah sembahyang sebagai satu contoh, hanya lima kali sehari semalam yang tidak mengambil masa yang lama untuk mendirikannya, bahkan diberikan kelonggaran kepada orang yang sakit, musafir dan wanita dalam keadaan-keadaan yang tertentu.
Islam rahmat untuk semua kerana tujuan ianya diturunkan oleh Allah adalah untuk memberikan kebaikan kepada manusia dan menolak keburukan daripada berlaku ke atas diri mereka. Semua yang dihalalkan oleh Islam memberikan kebaikan kepada manusia dan semua yang diharamkan oleh Islam memberikan mudharat kepada manusia.
Islam rahmat untuk semua kerana ianya sesuai dengan fitrah semula jadi manusia. Di dalam syariatnya, Islam menggabungkan ketiga-tiga elemen yang ada di dalam diri manusia iaitu jasmani, rohani dan akal.
Islam rahmat untuk semua kerana hukum-hakamnya sesuai untuk dilaksanakan di setiap zaman dan tempat. Kebanyakan nas-nas syarak yang berkait dengan hukum-hakam digariskan dengan umum untuk memberikan kelonggaran kepada manusia agar dilaksanakan mengikut kesesuaian masa, tempat dan keadaan mereka.
Kerahmatan agama Islam menyerlahkan rahmat Allah kepada hamba-hamba dan makhluk-makhluk-Nya.
Penulis ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia.
Sumber HD - 30-11-2013
No comments:
Post a Comment