Alahai ekonomi rakyat Malaysia...
- Jan 12, 2014
- Shirzad Lifeboat
Jika tindakan pengurangan hutang ini tidak dilakukan, pengkadaran kredit negara di mata dunia akan terus merudum dan tidak mustahil Malaysia bakal menyertai senarai negara membangun yang keupayaan mereka menjelaskan ansuran diragukan.
Tidak kurang juga mengatakan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan berpunca dari kerajaan sendiri adalah untuk menyelamatkan sekian banyak dana agar ia dapat digunakan untuk membiayai BRIM, lain-lain pemberian one-off (sekaligus) serta kos semakan gaji atau bonus kakitangan awam – yang mana semuanya dilihat sebagai langkah populis dalam usaha mengelakkan sokongan rakyat/pengundi BN dari terus terhakis.
Tentu sekali terdapat pula tekaan lebih nakal mengatakan kerajaan BN berbuat demikian agar lebihan dana berkenaan dapat diagihkan kepada syarikat-syarikat (dibaca juga, pemilik syarikat) yang mempunyai hubungan istimewa dengan pemimpin Umno-BN. Spekulasi seperti ini melahirkan pula spekulasi lain betapa matlamat menaikkan harga barangan dan perkhidmatan secara maharajalela itu mempunyai kesan ‘gergaji tiga mata’ – maksudnya keuntungan kepada syarikat/pemilik syarikat, habuan untuk sesiapa yang bertanggungjawab meluluskan kenaikan harga dan sumbangan untuk parti bagi pelbagai tujuan.
Sementara spekulasi terakhir ini tidak berasas dan tidak boleh dibuktikan secara objektif, tetapi pada waktu sama sukar juga untuk menolaknya begitu sahaja.
Namun bagi kebanyakan pemimpin Umno dalam kerajaan dan termasuk Perdana Menteri Najib Razak sendiri, kononnya semua kenaikan itu memberikan kesan jangka panjang yang positif terhadap ekonomi Malaysia.
KESAN POSITIF EKONOMI
Begitupun, di sebalik penjelasan demi penjelasan pemimpin kerajaan Umno-BN, pelbagai pihak tertanya kesan positif ekonomi yang bagaimanakah yang dimaksudkan? Apakah kesan jangka panjang yang disebut-sebut oleh Najib dan menteri Umno-BN lain akan mengambil bentuk betapa dengan kenaikan pelbagai komoditi dan perkhidmatan utama akan menyebabkan dalam, katakan lima tahun akan datang ini, rakyat Malaysia akan menikmati pendapatan sahih tinggi di luar jangkaan mereka sehinggakan semua akan hidup dalam kemewahan dan kesejahteraan ekonomi?
Jika itulah maksud dan tujuan Najib, maka nampaknya dia bakal menjadi perintis ekonomi baru abad ini dan satu-satunya manusia dengan pengetahuan bidang ekonomi ala kadar tetapi boleh menukarkan keadaan tiada atau ‘nothing’ kepada sesuatu yang besar atau ‘big thing’.
Rasanya dalam sejarah ekonomi dan sejarah pentadbiran ekonomi makro baik dalam negara demokratik, sosialis atau komunis sekalipun belum ada lagi yang dapat melakukannya.
Barangkali inilah yang dikatakan oleh Najib sebagai ‘transformasi’ ekonomi. Dulu kita miskin, tetapi bila semua harga barangan dan perkhidmatan dinaikkan, kita tiba-tiba menjadi kaya raya.
Seakan-akan kian jelas betapa ekonomi Malaysia di bawah kerajaan Umno-BN pimpinan Najib dipacu oleh hutang isi rumah/rumah tangga.
Dalam masa sedekad lalu kita telah melihat betapa hutang isu rumah Malaysia mencecah kadar 80 peratus dari KDNK. Hampir 80 peratus dari kalangan rakyat Malaysia yang mana pendapatan keluarga kurang dari RM4,000 sebulan sebagaimana disebut oleh Perdana Menteri sendiri dalam perutusan tahun barunya terpaksa mengenepikan 70 peratus dari pendapatan tersebut bagi menjelaskan ansuran pelbagai hutang.
Dengan mengandaikan angka RM4,000 sebagai pendapatan tertinggi sesebuah keluarga maka ini bermakna sebanyak RM2,800 perlu digunakan untuk menjelaskan ansuran hutang dan baki RM1,200 untuk meneruskan kehidupan sebelum hari gaji selanjutnya.
Setelah ditolak perbelanjaan minyak/tambang kenderaan ke tempat kerja, bayaran tol, bayaran utiliti, perbelajaan persekolahan harian dan bulanan anak-anak, maka bayangkan berapa lagi berbaki untuk digunakan untuk membeli makanan dan keperluan lain?
Bagi yang ada kad kredit, berhutang lagilah jawabnya. Bagi yang tiada, terpaksalah pinjam dengan kawan atau saudara mara.
Beginilah senario kehidupan rakyat Malaysia sederhana dan ke bawah. Semakin hari keadaannya semakin sempit dan parah?
Apakah ini transformasi ekonomi yang dikatakan oleh Najib dan apakah keadaan seperti ini boleh mengubah nasib mereka dalam jangka panjang?
Tentu sekali Najib memiliki semua jawapannya.
Sumber HD - 12-1-2014
Najib jadikan negara kalut, rakyat marhaen ikat perut
- Jan 11, 2014
- HARAKAHDAILY
Dalam masa yang sama, kemewahan dan pemborosan pemimpin, terutamanya Perdana Menteri tidak pernah berubah, tulis Shahbudin Husin.
Katanya, kecintaan kepada gaya hidup mewah, memiliki barang-barang mahal, jamuan dan perjalanan dengan kos yang tinggi, terus juga bermaharajalela.
Baginya, seruan berjimat, mengikat perut dan berubah hanyalah ditujukan kepada rakyat marhaen tetapi tidak kepada diri mereka sendiri.
Secara nyatanya, menurut beliau kelemahan kerajaan sekarang adalah berpunca daripada kelemahan yang ada pada Najib sebagai Perdana Menteri.
“Beliau telah gagal melonjakkan ekonomi dan menambah pendapatan negara sehingga yang terfikir di kepalanya untuk mengelakkan kewangan negara terus merudum ialah dengan menaikkan cukai, menghapuskan subsidi dan mengambil lebih banyak wang daripada poket rakyat,” tulisnnya lagi di dalam blognya, semalam.
Tambahnya, tetapi oleh kerana pendapatan negara tidak diseimbangkan dengan kemewahan dan pemborosan, dalam masa yang sama hutang negara terus juga meningkat.
Menurutnya, ketika Najib mengambil alih kepimpinan pada 2009, hutang negara hanyalah RM362 bilion tetapi kini telah meningkat sekali ganda menghampiri RM600 bilion.
Di samping kedudukan ekonomi makin merudum dan gagal dipertingkatkan, kelemahan kepimpinan Najib juga telah menyumbang kepada munculnya pelbagai isu dan kekalutan dalam negara.
Sumber HD - 11-1-2014
'Defisit', ibu terpaksa catu belanja harian
- Jan 10, 2014
- MUHAMMAD FAIZAL
Norziana Zainuddin, 34 (gambar) bekerja sebagai kerani di syarikat perumahan di Setia Alam melihat tahun 2014 merupakan tahun yang berat untuk diharungi dan memberi tekanan kepada diri beliau sekeluarga.
Ibu kepada dua orang anak ini menjelaskan, dengan pendapatan sekitar RM1500 sebulan dan tinggal di kawasan Lemmbah Klang, beliau tidak mampu lagi untuk berbelanja seperti tahun-tahun sebelum ini dan terpaksa mencatu perbelanjaan.
Malah lebih teruk katanya, pendapatan bulan itu langsung tidak ada bahagian untuk simpanan kerana senuanya cukup-cukup untuk perbelanjaan barangan keperluan..
"Ayat paling mudah nak saya katakan adalah tahun yang menyeksakan. Semua kena dicatu dan dirancangkan dengan teliti jika ingin berbelanja.
"Dengan pendapatan yang saya perolehi ini, kalau dulu ada juga simpanan walau sedikit tetapi sekarang tidak lagi, malah pengiraan sekarang tahap negerif," jelas beliau.
Dua anaknya, Muhammad Danish Zharfan, 10 dan Nurhanania Batrisyia, 7 tahun masing-masing bersekolah Maahad Tahfiz di Kapar yang yuran pendaftaran sekolah mereka sebanyak RM980 dan RM800 setiap seorang.
Tambahnya lagi, beliau hanya menyelesaikan yuran sekolah bagi seorang anak sahaja terlebih dahulu, manakala yuran bagi anaknya seorang lagi akan diselesaikan bulan hadapan.
Katanya, walaupun malu tetapi tindakan tersebut terpaksa dilakukan bagi memastikan wang yang ingin digunakan bagi keperluan lain yang lebih utama tidak tergendala.
Menurutnya, disebabkan kenaikan kos sara hidup dan harga barang yang melambung, beliau terpaksa 'ikat perut' dan perlu berbelanja dengan lebih teliti.
"Sebelum minyak (petrol) naik saya hanya perlu mengeluarkan RM240 sahaja untuk minyak sebulan, tetapi sekarang lebih RM300 sebulan dan itu hanya untuk ulang alik dari rumah ke tempat kerja sahaja.
"Kalau campur sewa rumah, barang dapur, keperluan-keperluan lain, bil-bil dan keperluan anak-anak sekolah, apa yang mampu saya lakukan dengan jumlah gaji yang saya perolehi," jelasnya.
Tegas Norziana, sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, dengan jumlah gaji yang sama, perbelanjaan beliau boleh dikatakan mencukupi untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga biarpun tidak boleh bermewah-mewah seperti orang lain.
Namun selepas itu katanya, keadaan makin menghimpit apabila satu-persatu harga barangan diumum naik oleh kerajaan.
"Memang hidup tertekan, tetapi terpaksa diteruskan walaupun ikat perut dan catu makan saya sekali sehari.
"Harapan saya agar kerajaan dengar suara rakyat, jangan menyiksa rakyat.
"Ini ke balasan kerajaan terhadap rakyat, mana janji sebelum ini," jelas beliau dalam nada kesal.
Sumber HD - 10-1-2014
Apalah nilai RM100
- Jan 04, 2014
- SYED ABDULLAH SYED OSMAN
Nampaknya dengan membawa wang kertas bernilai RM100 untuk membeli barangan keperluan dapur hanya mampu membawa lebih kurang 5 barangan sahaja untuk dibawa balik. Kadangkala saya perhatikan, ada pelanggan tertentu di pasaraya hanya membeli ikan, sotong dan udang yang sudah separuh busuk dengan harga separuh juga yang ditawarkan oleh pihak pasar raya. Itulah nasib bagi mereka yang berpendapatan rendah dan kemampuan mereka amat terhad ketika ini.
Mahu tidak mahu kenalah berbelanja apa yang termampu sahaja. Untuk minum susu segar dan makan makanan yang agak berzat serta lazat hanyalah untuk mereka yang mampu dan berada sahaja tetapi tidak bagi mereka yang berpendapatan diluar kemampuan.
Sumber HD - 4-1-2014
Rasionalisasi ekonomi BN tidak rasional
- Dec 29, 2013
- Wan Nik Wan Yussof
Ia adalah lanjutan daripada siri-siri kenaikan harga barangan asas selepas pilihan raya umum yang ketika kempen pihak BN menjanjikan untuk mengurang kos sara hidup rakyat.
Namun apa yang berlaku ialah kos sara hidup itu cuba dikurangkan dengan menaikkan harga petrol, diesel dan gas. Seperti mana pada 3 September lalu harga petrol RON95 dan diesel dinaikkan kepada 20 sen menyambung daripada siri-siri kenaikan harga sebelum ini.
Kerajaan BN Pusat cuba memujuk rakyat dengan mengadakan beberapa pendekatan antaranya membuka rangkaian Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M). Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hassan Malik semasa perasmian KR1M di Tawau, Sabah pada 15 September lalu berkata, langkah kerajaan membuka KR1M dan bersedia menjual sebanyak 397 jenis barangan pengguna pada harga berpatutan membuktikan kerajaan menepati janji. Kenyataan ini adalah permainan wayang yang cuba mempersendakan rakyat.
Ia ditambah buruk lagi dengan sikap pemimpin BN yang menghiburkan rakyat dengan segala pemberian termasuk BR1M, insuran satu Malaysia dan pelbagai skim kredit atas jenama 1Malaysia.
KR1M bukan penyelesaian
Persoalannya, apakah KR1M ini menjual barangan lapuk dan tidak terikat dengan kenaikan kos-kos berkaitan dalam produksi barang. Jawapnya, mustahil KR1M menjual barangan yang bebas daripada segala kenaikan kos-kos berkait.
Maksudnya, roti atau biskut yang dijual adalah barangan dari kilang yantg dijanakan oleh tenaga elektrik atau minyak dan gas (telah dinaikkan caj), dan ini sudah tentu memberi kesan kenaikan kos pengeluaran.
Justeru KR1M terpaksa juga menjual pada harga yang untung demi survival. Maka harga barangan keperluan asas di KR1M tidak boleh dielak, kenalah menjual pada harga yang untung (selepas mengambil kira kenaikan kos).
Misalnya harga gula (berat sekilogram) bertapis kasar ialah RM2.84 dan bertapis halus RM2.94.
Logiknya harga gula dijual pada harga RM3.00 sekilo. Mungkin kebaikan di KR1M hanya dari segi pilihan antara mahu membeli barangan import yang mahal atau barangan tempatan yang murah.
Natijahnya barangan tempatan lebih murah kerana tiada cukai import. Apa yang pasti harga jualannya tetap pada harga yang untung setelah mengambil kira kos pengeluaran yang bertambah kesan kanaikan kos-kos pengeluaran.
Bahan asas pengeluaran satu-satu barangan (produk) ialah mengambil kira harga bahan tenaga yang menjana mesin dan pengangkutan kilang serta bahan mentah. Maka kesannya kenaikan minyak dan gas memungkinkan caj (bil elektrik dan gas) sumber asas bahan tenaga dinaikan.
Kesannya yang sama berlaku ke atas kos pengangkutan bahan mentah (contohnya tepung gandum) yang terpaksa juga dinaikkan. Justeru logiklah produk kilang (misalnya roti dan biskut) itu dinaikkan.
Kalau sebelum ini satu pek roti saiz jumbo berharga RM2.80, tetapi kini terpaksa dijual dengan harga untung pada saiz sama ialah RM3.20. Secara langsung kos makanan untuk roti sudah meningkat 40 sen bagi satu hari atau sebanyak RM12.00 sebulan. Sudah tentu unjuran kenaikan banyak lagi barangan pengguna yang lain akan melalui kadar kenaikan tertentu.
Jika purata satu barang asas (roti) mengalami kenaikan RM12 sebulan, bayangkan berapa kos yang meningkat terpaksa ditanggung pula jika setiap bulan kita terpaksa menggunakan 10 bahan keperluan asas (beras, minyak masak, gas, elektirik, bawang, lada, ikan, ayam, sabun dan air). Maka purata kenaikan kos keperluan bahan asas sudah melebihi RM100 sebulan.
Jika setiap keluarga atau individu menggunakan sekitar 100 jenis barangan asas setiap bulan maka, tidak dinafikan kenaikan kos bulanan sudah melebihi RM1,000 sebulan.
Atas rasional pengiraan mudah ini, pendekatan KR1M bukanlah satu penyelesaian. Maka amatlah tidak popular bagi sebuah kerajaan cuba mengimbangi kenaikan kos dan kesan himpitan ekonomi semasa dengan cara pendekatan rasionalisasi harga, iaitu menaikan harga dan cukai barangan pengguna.
Justeru pendekatan PAS dan Pakatan Rakyat membina kesedaran bersama-sama NGO untuk mendesak Kerajaan BN agar menurunkan harga bahan asas seperti caj elektrik, minyak dan gas serta cukai perkhidmatan (baca: GST akan kenakan) dan sebagainya adalah sesuatu yang harus disokong.
Menteri Besar sokong
Selari dengan hasrat dan kesedaran inilah, pihak Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob telah menyatakan sokongan penuh kepada usaha bagi mengadakan perhimpunan untuk membantah kenaikan harga dan turut bersetuju dengan pendirian NGO, Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) menganjurkan Himpunan Amarah Rakyat di Dataran Merdeka pada malam 31 Disember nanti.
Ia bukanlah himpunan mengguling kerajaan sebagaimana difitnahkan oleh media pro-BN. Ini kerana himpunan mengguling kerajaan sebenarnya berlaku di kota Bangkok. Himpunan amarah ini adalah himpunan membela rakyat.
Justeru pendirian Kerajaan Negeri Kelantan ini turut disokong oleh Pemuda PAS Kelantan menerusi kenyataan Ketua Pemuda, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang bersedia menghantar ahli pemudanya untuk hadir menyertai himpunan tersebut.
Ini adalah keprihatinan warga Kelantan atas komitmen bagi memperjuangkan kesejahteraan hidup rakyat berdepan dengan himpitan hidup angkara pentadbiran boros dan ketirisan BN. Ia juga adalah terjemahan secara langsung pendirian Kerajaan Negeri Kelantan sebagaimana terkandung dalam tawaran pilihan raya lalu.
Semoga kesedaran dan bangkitnya rakyat menyatakan bantahan (baca: amarah) akan membangkit tindakan balas Kerajaan Pusat agar bersedia melaksanakan pertimbangan sewajarnya untuk menyeimbangi himpitan ekonomi melampau hari ini.
Inilah prinsip perjuangan Pakatan Rakyat, sentiasa bersama rasa dan denyut nadi rakyat bagi kesejahteraan rakyat.
__________________
Wan Nik Wan Yussof ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan
Sumber HD - 29-12-2013
Kerajaan digesa selesai kemelut kekurangan diesel di stesen minyak
- Dec 24, 2013
- HARAKAHDAILY
Presiden PDAM Datuk Hisham Othman berkata masalah itu telah berlarutan selama lebih setahun dan perlu diselesaikan segera supaya bekalan tidak terjejas dan penjualannya kepada pengguna berjalan lancar.
"Masalah kekurangan bahan bakar itu pada setiap hujung bulan telah merumitkan dan membebankan pengguna.
"Kehabisan diesel di stesen-stesen berlaku pada hujung bulan selama tiga hingga lima hari dan biasanya pengusaha akan dipersalahkan," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata penghantaran diesel ke stesen minyak dibuat oleh syarikat dan ini di luar kawalan pengusaha.
Katanya bekalan diesel yang mencukupi adalah kritikal terutama dengan pelbagai aktiviti yang berlangsung ketika ini termasuk sambutan perayaan Krismas dan tahun baharu 2014. - Bernama
Sumber HD - 24-12-2013
Turunkan Najib, azam tahun baru 2014 rakyat Malaysia
- Dec 23, 2013
- HARAKAHDAILY
Bagi blogger politik, Shahbudin Husin segala azam lain tidak akan lebih bermakna selain daripada azam untuk menurunkan Najib sebagai Perdana Menteri.
“Najib kini sudah dilihat sebagai liabiliti bagi rakyat negara ini dan lebih lama beliau berada di kerusinya sekarang, pasti akan menjadikan kehidupan rakyat lebih sengsara jadinya dan banyak kenaikan lagi akan dilakukan,” tulis beliau di dalam blognya.
Menurutnya, bagi rakyat biasa, perubahan dan pembaharuan dalam kehidupan mereka hanya mungkin berlaku setelah berlakunya perubahan dalam kepimpinan negara.
Bagi yang pro BN pula, katanya sedarlah bahawa lagi lama Najib kekal sebagai Perdana Menteri, lagi merosot sokongan rakyat.
“Dengan luahan kemarahan semakin kuat daripada dalam Umno dan BN sendiri, potensi untuk BN kalah dalam pilihanraya akan datang lebih terbuka jika parti dan kerajaan kekal dipimpin oleh Najib berbanding pemimpin lain,” tulisnya lagi.
Baca di sini
Sumber HD - 23-12-2013
Tahniah Reezal, anda tidak mudah lupa seperti Najib
- Dec 21, 2013
- MOHD ZAKI ZAKARIA
Beliau menggambarkan kekecewaan kerana orang-orang Melayu mula tidak memberi undi kepada BN dalam pilihanraya umum selepas gerakan reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun, Mahathir sendiri buat-buat lupa kenapa rakyat khususnya orang Melayu ramai meninggalkan BN sewaktu senja pemerintahanya. Inilah sikap pelupa BN. Mereka lupa, tetapi menuduh orang lain lupa kepadanya.
Sikap ini terus diwarisi oleh BN turun temurun sehingga sekarang. BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib suami kepada Kak Rosmah yang terkenal itu telah mula lupa AKUJANJI yang dibuatnya dalam Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu. Tidak sampai 8 bulan BN mengeluarkan janji, sekarang janji tinggal janji.
Apakah Akujanji BN? BN melalui manifesto PRU13 di bawah tajuk Pembangunan Infrastruktur Bertaraf Dunia dan Pembangunan Luar Bandar, akan mengurangkan tol antara bandar secara berperingkat.
Anda boleh rujuk muka depan Sinar Harian edisi Kelantan bertarikh 19 Disember 2013 diutarakan oleh ahli parlimen BN sendiri iaitu Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Nampaknya Reezal cuba mengingatkan Najib supaya jangan lupa janji itu.
Namun, Najib dalam kenyataan terbarunya mengatakan harga tol tetap akan dinaikkan dengan alasan kerana sebahagian perjanjian dengan syarikat konsesi. Inilah sikap pelupa BN.
PRU13 baru sahaja berlalu, dan janji BN bagaikan masih terngiang di telinga tetapi mereka tidak malu.
Kalaulah boleh diibaratkan sepasang kekasih yang berjanji sehidup semati dan telah berkahwin, tiba-tiba tak sampai 8 bulan pasangan dah buat onar, sudah tentu mereka tidak ikhlas dengan janji-janjinya. Janji yang ditabur adalah palsu sekadar ingin mendapatkan hajat diri.
Begitulah dengan sikap pelupa BN yang mudah menaburkan janji-janji palsu semata-mata untuk menang dalam pilihanraya.
Adakah betul kerajaan tidak boleh menyekat kenaikan kadar tol disebabkan kenaikan merupakan sebahagian perjanjian dengan syarikat konsesi?
Sebenarnya kerajaan BN itu sendiri yang lemah kerana membuat perjanjian yang berat sebelah. Akibatnya, beban ini ingin dihumban ke bahu rakyat.
Siapakah pula pemilik syarikat konsesi tol?
Tiga pemegang konsesi lebuhraya terbesar iaitu Projek Lebuhraya Selatan (PLUS), Prolintas dan Gamuda dimiliki oleh syarikat milik kerajaan GLC. PLUS dikuasai oleh Khazanah dan KWSP manakala Prolintas anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB). Tidakkah kerajaan boleh mengelakkan kenaikan kadar tol melalui GLC yang dikuasainya?
Kerajaan boleh merombak dan mengkaji semula perjanjian itu. Kalaulah AES milik swasta kerajaan boleh mengambil alih, inikan pula syarikat yang sudah dimilikinya.
Rakyat seluruhnya wajib bangkit membantah kenaikan harga tol ini kerana ia merupakan pakej lengkap kepada kenaikan-kenaikan yang telah diumumkan oleh PM bermula dengan kenaikan minyak, caj elektrik, diikuti dengan harga tol, kos pengangkutan dan banyak lagi yang akhirnya menyebabkan kenaikan harga barang-barang keperluan.
Bagi masyarakat bandar, bayaran tol yang sedia ada sudah banyak membebankan mereka. Bayangkan mereka perlu berhabis duit tidak kurang RM15 sehari untuk bayaran tol sahaja tak termasuk kos petrol untuk ke tempat kerja. Dengan kenaikan ini, saya kira amat-amat membebankan mereka dan kita akan tempias sama.
Apapun Tahniah kepada Reezal kerana beliau tidak mudah lupa seperti Najib dan pemimpin-pemimpin lain dalam BN.
Penulis ialah Ketua Unit Media Baru, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.
Sumber HD - 21-12-2013
PM, dengarlah isi hati kami rakyat ini
- Dec 20, 2013
- MOHD ZAKI ZAKARIA
PM menegaskan 1.4 juta penjawat awam adalah tulang belakang dan teras pentadbiran mesti memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan supaya persepsi kepada kerajaan lebih meyakinkan.
Pada saya, penegasan ini tidak akan mendorong penjawat awam memberikan perkhidmatan terbaik apalagi memaksa persepsi rakyat untuk mengatakan kerajaan BN amat berhemah dan bagus.
Secara sedar ataupun tidak, penjawat awam juga merupakan rakyat yang hanya diberikan tugas untuk melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Dasar ini ditentukan oleh PM.
Oleh itu, andainya PM ingin meningkatkan mutu perkhidmatan penjawat awam dan mengubah persepsi rakyat ke arah yang lebih baik, maka PM wajib menggariskan dasar-dasar yang bagus untuk rakyat dan dilaksanakan oleh penjawat awam.
Akhirnya, penjawat awam juga merasa selesa dengan dasar-dasar tersebut. Barulah timbul rasa menghargai antara penjawat awam dan rakyat kepada kerajaan.
Lalu apakah dasar yang dilaksanakan oleh PM tidak bagus untuk rakyat? Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan amat sinis maksudnya.
Apa yang saya fahami sekarang, rakyat memang didahulukan untuk menanggung segala bebanan kerajaan sedangkan pencapaian kemajuan dan ekonomi negara diutamakan tanpa menuntut pengorbanan PM dan menteri-menteri.
Bila negara mengalami masalah kewangan, maka rakyatlah terdahulu perlu mengorbankan poket mereka. Rakyat wajib berjimat cermat. Rakyat dimomokkan dengan kewajipan berjimat cermat.
Sekiranya boros, umpama berkawan dengan syaitan. Sedang PM dan pak menteri terus mewah dengan harta negara bagaikan harta sendiri.
Atas nama rasionalisasi subsidi, harga minyak dinaikkan, harga barang-barang melambung, caj elektrik naik, harga tol juga ingin dinaikkan lagi dan entah apa lagi harga yang akan meningkat.
Yang pasti, penjawat awam, penjawat swasta dan rakyat marhaen sudah lama menahan penderitaan kesusahan ini. Padahalnya, masalah kewangan Negara akibat salah urus oleh PM sendiri.
Ada yang mencabar pak-pak menteri membelanjakan hanya RM2,00 dalam sebulan tanpa mengambil gaji dan berbagai elaun lain yang angkanya belasan ribu. Rasailah keperitan yang kami rasakan.
Cukupkah RM2,000 ini untuk membayar sewa flat, membeli keperluan isi rumah, membayar sewa beli kereta, petrol, tol, bil-bil, susu, pampers dan kos asuhan anak-anak? Bagaimana pula rakyat yang bergaji kurang RM2,000?
Apakah kami boleh menggores kad kredit bila gaji kami tak cukup atau kami boleh meluluskan peruntukan tambahan atau kami boleh mengisi borang claim seperti pak-pak menteri?
Hemat saya, lebih baik kerajaan yang populis dari kerajaan berhemah PM kerana yang populis itu lebih mementingkan kebajikan rakyat. Ia takkan popular kalau rakyat terbanyak benci dan rakyat hanya sayang bila kerajaan menjaga kebajikan mereka.
Sudah terbukti kerajaan populis PR tidak bankrap, malah lebih cemerlang dari kerajaan berhemah PM yang sebelumnya. Penjawat awam pula akan melaksanakan dasar-dasar kerajaan dengan lebih baik bila mereka merasakan dasar tersebut untuk kebaikan mereka jua. Kepada PM, dengarlah isi hati kami rakyat ini.
Penulis ialah Ketua Unit Media Baru, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.
Sumber HD - 20-12-2013
Surat terbuka kepada PM: Ke mana duit kami pergi?
- Dec 20, 2013
- SYAHIR SULAIMAN
Tidak dapat dinafikan, Malaysia yang dipimpin YAB kini berhadapan masalah ekonomi.
Pertumbuhan KDNK diunjur malar, defisit kian melebar, hutang makin mengakar, inflasi terus menjalar dan tabungan semakin sukar.
Walaupun transformasi dijana dan janji dijaja, barah rasuah dan disiplin integriti masih kekal di tahap lama.
Kerajaan YAB dilihat mengambil formula mudah untuk mengatasi masalah ini – cukai dinaikkan, subsidi dikurangkan, integriti dipersoalkan. YAB pasti mengerti, pelbagai perbelanjaan, subsidi dan bantuan yang diberi kerajaan, semuanya dipungut daripada rakyat.
Pendapatan rakyat dicukai, keuntungan rakyat dicukai, perbelanjaan rakyat dicukai, manakala simpanan rakyat dipinjam untuk membiayai hutang kerajaan.
Jika demokrasi adalah pemerintahan ‘dari rakyat, untuk rakyat, oleh rakyat’, ekonomi yang sihat juga begitulah sifatnya.
Untuk pengetahuan YAB, kami anak muda juga cakna memikirkan hal ekonomi negara. Saban hari kami hadapi - harga makan minum mahal, harga rumah mahal, sewa rumah mahal, harga kereta mahal, tambang bas dan teksi mahal.
Hendak belajar perlu berhutang, hendak berniaga tiada modal, hendak bekerja peluang terhad, hatta hendak berkahwin terpaksa meminjam.
Tidak cukup dengan itu, YAB mengumumkan kenaikan 20 sen harga petrol selepas 4 bulan pilihanraya, harga gula diumum naik 34 sen selepas 5 bulan pilihanraya, tarif elektrik diumum naik 15% selepas 6 bulan pilihanraya dan terkini tol lebuhraya pula mahu dinaikkan, yang semuanya tidak pernah dijanjikan.
Semua ini adalah senarai rasionalisasi (baca: pengurangan) subsidi yang telah diumumkan, belum dikira dengan yang bakal diumumkan, ditambah pula dengan peniaga yang menaikkan harga barangan.
YAB pasti tahu, harga barangan menjadi mahal (baca: inflasi) disebabkan dua faktor, tolakan-kos dan tarikan-permintaan.
Dengan kenaikan kos bahan ini, sifir mudahnya, harga akhir yang perlu dibayar pengguna akan turut meningkat. Natijah kenaikan harga barangan ini, kos sara hidup kian menghimpit, kuasa beli makin menyusut, dan hutang isi rumah dijangka terus meningkat.
Siapa akan pulihkan ekonomi Malaysia? Rakyat tiada akses pada perjanjian pembelian tenaga (PPA) oleh TNB terhadap penjanakuasa bebas (IPP) yang mengaut untung besar, yang kami kira wajar dikaji-semula.
Rakyat tiada akses pada keuntungan dan royalti minyak dan gas Petronas, yang kami hitung, wajar diagih rata.
Rakyat tiada akses pada perjanjian konsesi tol yang telah mendapat pulangan atas pelaburan (ROI), yang kami darab, wajar dirunding-semula.
Rakyat tiada akses pada tender dan kontrak kerajaan, yang kami bahagi, wajar diberi secara telus dan terbuka.
Rakyat tiada akses pada subsidi untuk monopoli beras dan gula, yang kami anggar, wajar diagih saksama.
Rakyat tiada akses pada aliran perbelanjaan menteri, yang kami perincikan, wajar dijimat dalam berbelanja.
Benar, rakyat tiada akses, tetapi rakyat punyai azam dan cita untuk berubah demi hidup sejahtera.
Akhir dari saya, ingatlah, ketika YAB (dan isteri) berfikir ke mana mahu pergi, kami anak muda berfikir ke mana duit kami pergi.
Teringat saya akan konsep wasatiyyah yang sering dizikirkan. Jika ikhlas diamalkan, pasti masalah mampu diselesaikan.
Syahir ialah Exco Pemuda PAS Malaysia.
Sumber HD - 20-12-2013
Kasanova baru kahwin pun tidak mungkir janji secepat ini
- Dec 19, 2013
- SHAHBUDIN HUSIN
Jika sebelum pilihanraya 5 Mei lalu dan dalam manifesto pilihanraya atau rayuannya meminta sokongan, begitu banyak janji-janji indah yang dihamburkan, kini semuanya bagai tinggal kata-kata saja. Hanya setelah enam bulan memperolehi kuasa yang membolehkannya terus kekal di puncak kuasa dan mendiami lagi Seri Perdana, bukan saja pembaziran dan kemewahan terus diamalkan tetapi juga menunjukkan sudah begitu banyak janjinya sendiri mulai dimungkiri.
Terlalu banyak janji yang dibuatnya barang kali menyebabkan beliau lupa apa yang pernah diucapkannya. Lantaran itu, tanpa rasa berdosa, selepas mengumumkan kenaikan harga minyak sebaik saja pilihanraya umum lalu berakhir, satu demi satu kenaikan terus berlaku. Harga gula, tarif elektrik, cukai pintu, pengenalan cukai GST, kenaikan kadar tol adalah antara kenaikan yang mula meresahkan kehidupan rakyat sekarang ini.
Tidak cukup dengan itu, isterinya Rosmah Mansor juga terus bergentayangan terbang ke serata dunia dengan jet eksekutif kerajaan serta berbelanja mewah menggunakan wang pembayar cukai tanpa rasa bersalah atau ada sedikit pun perasaan belas kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah yang kian terhimpit kehidupannya.
Walaupun Ahmad Maslan berhujah bahawa kenaikan letrik tidak membebankan kehidupan rakyat bawahan berikutan mereka yang mempunyai bil RM70 ke bawah didakwanya tidak mengalami sebarang perubahan, sebaliknya lebih memberi kesan kepada kelompok industri tetapi sedarkah beliau bahawa sekiranya kos industri meningkat, ia juga akan menyebabkan harga barangan meningkat.
Apabila harga barangan meningkat, siapakah yang menerima kesannya?
Tindakan Najib dan kerajaan begitu cepat mengumumkan pelbagai kenaikan sekarang ini telah mengundang kegelisahan yang tiada taranya kepada rakyat. Di mana-mana juga suara resah dan bimbang itu boleh didengari. Tidak saja golongan kritikal dan mereka yang memang dikenali sebagai penyokong pembangkang yang bersuara, bahkan sekarang ini suara yang dulunya menyokong juga sudah berubah nadanya.
Bagi mereka yang dulunya menyokong segala usaha UMNO dan kerajaan, pelbagai kenaikan ini menyebabkan mereka tidak berupaya lagi mencari kata-kata untuk mempertahankan janji-janji yang pernah dibuat dulu. Janji yang dilakukan kerajaan nampaknya bukan lagi untuk ditepati, tetapi lebih untuk dimungkiri dengan pelbagai hujah yang direka-reka.
Kajian Merdeka Center mengenai prestasi Najib jelas menunjukkan hakikat ini. Menurunnya kedudukan beliau daripada 62 peratus kepada 52 peratus setelah pelbagai kenaikan sejak kebelakangan ini, adalah gambaran sebenar suara keluh-kesah rakyat terhadap Najib dan kerajaan sekarang ini.
Ia juga adalah bukti penolakan terhadap janji-janji yang dimungkiri sendiri oleh Najib. Dalam tempoh hanya enam bulan setelah memperolehi kuasa, sudah begitu banyak janji yang dimungkiri, menunjukkan bahawa Najib memang tidak mahu berpegang kepada kata-katanya sendiri.
Janji-janjinya kelihatan lebih teruk daripada janji seorang lelaki ketika memikat seorang wanita yang ingin dikahwininya. Tetapi setelah berkahwin, kebanyakan janji itu tetap cuba dipenuhi dengan sedaya-upaya dan kalau ada pun yang hendak dimungkiri, ia mungkin hanya telah memperolehi dua atau tiga orang anak. Selebihnya mungkin janji itu hanya lewat untuk ditunaikan saja.
Namun Najib nampaknya telah memungkiri janjinya lebih pantas daripada itu. Hanya setelah enam bulan dan mungkin ketika seorang isteri sedang mengandung anak sulung, beliau sudah pun memungkiri banyak janjinya. Bayangkan dalam tempoh pilihanraya akan datang yang akan diadakan sebelum 2018, berapa banyak lagi janji yang akan dimungkiri Najib?
Kalau dalam kehidupan berumahtangga, lelaki seumpama itu boleh dianggap lelaki yang tidak bertanggungjawab dan sesetengah orang mungkin memanggilnya "lelaki haprak" atau "kasanova cinta" tetapi oleh kerana janji-janji Najib dilontarkan kepada rakyat yang berjuta-juta jumlahnya, label dan kategori beliau mungkin lebih buruk daripada itu.
Apa saja boleh gelaran boleh dilemparkan kepada Najib dan kerajaan yang sedang dipimpinnya.
Tetapi apa pun label, kategori atau gelaran yang mahu mahu tujukan kepadanya, rakyat kini dapat melihat dan merasai sendiri bagaimana Najib memungkiri janji-janjinya. Rakyat tidak seharusnya lagi berfikir lebih daripada sekali untuk menolak pemimpin seperti ini. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/
Sumber HD - 19-12-2013
Bersediakah rakyat ikat perut?
- Dec 19, 2013
- SYED ABDULLAH SYED OSMAN
Nampaknya saya dan keluarga kenalah ikat perut. Hal ini kerana harga barangan keperluan harian semakin hari semakin membimbangkan melambung naik. Bayangkan harga ikan kembung, selar dan berjenis ikan lain yang manusia boleh makan sudah naik harganya hingga mencecah RM20 sekilogram dan udang yang kecil saja saiznya dahulunya RM10 sekilogram kini sudah RM28 sekilogram.
Adakah kita akan menghadapi inflasi atau mata wang kita sudah susut nilainya ataupun keadaan terpaksa kerana fenomena di seluruh dunia menghadapi ancaman dan turut terlibat menghadapi situasi sebegini? Ataupun adakah negara kita saja berhadapan dengan masalah kerana tidak bijak menanganinya.
Apa akan jadi nilai RM100 pada tahun 2020 nanti? Adakah dengan nilai sebegitu pada masa itu hanya mampu beli sekilo udang atau sotong? Atau dengan nilai wang kertas RM100 hanya boleh bertahan makan nasi lemak di sebelah pagi dan untuk makan tengah hari sahaja tetapi untuk makan malam sudah tidak mampu lagi?
Inilah yang merisaukan kita kalau tidak berhati-hati menangani secara bijak untuk mengatasi segala masalah yang kita hadapi sekarang ini. Perlukah dalam keadaan sebegini harga tarif elektrik, harga minyak dan bahan api yang lain serta harga tol hendak kita naikkan lagi dalam keadaan tergesa-gesa dan agak serentak itu?
Diharap ia dapat ditangguhkan sehingga rakyat bersedia dan pendapatan rakyat lebih terjamin lagi. Kalau sekiranya kita mampu berikan gaji sekurang-kurangnya sekali ganda apa yang pekerja dapat di negara ini ketika ini silakan kerana ia bolehlah dikatakan seimbang tetapi kalau sebaliknya risiko untuk ikat perut sampai terjerut itu berpotensi sangatlah.
Sumber HD - 19-12-2013
No comments:
Post a Comment