- Dec 29, 2013
- HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Lajnah Undang Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Pusat menyifatkan tindakan pihak berkuasa mengugut peserta perhimpunan aman 'Turun', 31 Disember ini sebagai bercanggah dengan peruntukan perlembagaan.
Pengerusinya, Hanipa Maidin berkata, perhimpunan aman tanpa senjata adalah hak asasi yang juga kebebasan fundamental mana mana rakyat negara ini yang dijamin oleh Perkara 10 ( 1 ) Perlembagaan Persekutuan.
"Apa guna wujudnya Akta Perhimpunan Aman jika polis dan BN terus melaungkan mentera Akta Perhimpunan Aman bagi menggagalkan mana mana perhimpunan aman.
"Jika keadaan ini terus berlaku maka nama Akta Perhimpunan Aman elok ditukar kepada Akta Larangan Perhimpunan Aman ," katanya dalam satu kenyataan.
Berikut kenyataan penuh beliau.
Lajnah Undang Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Pusat memandang serius ancaman pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas mana mana peserta perhimpunan aman yang ingin diadakan pada 31 Disember ini bagi membantah kenaikan harga barang dan kos sara hidup .
Tidak perlu ditegaskan di sini bahawa hak rakyat kepada perhimpunan aman tanpa senjata adalah hak asasi yang juga kebebasan fundamental mana mana rakyat negara ini yang dijamin oleh Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Polis dan Barisan Nasional perlu faham Perlembagaan Persekutuan adalah undang undang tertinggi negara ini di mana semua undang undang dan tindakan pihak berkuasa adalah berasal dari Perlembagaan.
Perlembagaan adalah kompas yang mengarah hala tuju undang undang dan perilaku pihak eksekutif, legislatif dan kehakiman termasuk pihak polis.
Amat malang hasrat rakyat prihatin yang ingin mengguna pakai hak dan kebebasan yang diberikan oleh Perlembagaan tersebut bagi menyatakan bantahan secara aman menerima pelbagai respon dan reaksi aneh dari pihak polis . Begitu aneh ke tahap mengarut apabila dimomokan bahawa kononnya perhimpunan aman tersebut ingin jatuhkan Kerajaan.
Adakah pihak polis sudah kekeringan modal atau alasan baru sehingga terus menerus terpaksa mendedangkan lagu lagu basi seperti ini setiap kali perhimpunan aman ingin diadakan?
Polis yang turut menerima bahana dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup sudah tentu tahu bahawa perhimpunan aman yang ingin diadakan tersebut bukan bertujuan untuk menjatuhkan atau menurunkan takhta Kerajaan BN yang menerima undi popular hanya 47 peratus sebaliknya perhimpunan aman itu adalah untuk JATUHKAN DAN TURUKAN harga barang dan kos sara hidup rakyat.
Polis seharusnya sedar bahawa peranan mereka bukan untuk mengancam atau mengugut atau melarang mana mana perhimpunan aman sebaliknya peranan dan fungsi polis adalah sekadar mengawal mana mana perhimpun aman yang ingin diadakan. Polis akan dihormati jika mereka tahu peranan sebenar mereka dan polis akan terus dikeji jika mereka dilihat bercakap seolah olah sebagai rakan sekutu BN !
Luham juga ingin menegaskan bahawa apa guna wujudnya Akta Perhimpunan Aman jika polis dan BN terus melaungkan mentera Akta Perhimpunan Aman bagi menggagalkan mana mana perhimpunan aman. Jika keadaan ini terus berlaku maka nama Akta Perhimpunan Aman elok ditukar kepada Akta Larangan Perhimpunan Aman !!!
Sejarah perhimpunan aman di negara ini menunjukkan bahawa jika polis hormati hak rakyat berhimpun maka mana mana perhimpunan aman di negara ini akan dapat dilaksanakan secara aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Jika sebaliknya berlaku perhimpunan aman juga akan bertukar sebaliknya. Ini menunjukkan aman atau tidak aman perhimpunan bergantung kepada bagaimana polis mempamerkan profesionalisme mereka.
Akhirnya kita menyeru pihak polis supaya bersikap rasional dan betul betul profesional dalam isu ini. Ingatlah mengancam atau mengugut rakyat yang ingin melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman adalah ibarat " jenayah rogol" ke atas hak dan kebebasan rakyat yang dijamin oleh Perlembagan Persekutuan.
Untuk polis dan BN hentilah jadi " perogol bersiri" hak rakyat sebaliknya jadilah polis yang berintegriti dan dihormati.
Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi PAS Pusat.
Sumber HD - 29-12-2013
a
- Dec 20, 2013
- SUHAIMI EMBONG
Dalam laporan tahunan PAS disebut misi Lajnah ICT PAS Pusat adalah memperkasa dan memperkukuhkan PAS melalui pengunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) demi memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-hilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah, dimana;
i.Lajnah ICT PAS Pusat (LICTPP) bertanggungjawab merangka dasar, hala tuju/polisi PAS untuk jangka panjang dan memastikan pembudayaan ICT serta memantau pengunaan ICT dalam PAS
ii.Jabatan IT PAS (JITP) bertangungjawab membangun aplikasi dan sistem serta pengunaan prasarana IT dalam PAS diperingkat pusat serta menyokong perlaksanaan IT diperingkat negeri dan dewan-dewan
Di hujung catatan Gerbang IT minggu lepas, saya ada menulis cadangan daripada rakan-rakan, apa salahnya kalau Presiden jadi Pengerusi “Majlis” IT. Berdasarkan bebanan yang ada, iaitu telah menjadi Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan dan Pengerusi Pusat Penyelidikan PAS (PPP) selain Pengerusi Lajnah Politik dan Pilihan raya, tidak memungkinkan Presiden dibebani dengan satu lagi portfolio IT buat masa ini.
Mungkin disebabkan tulisan analogi yang saya berikan dalam tulisan yang lepas, Perdana Menteri atau Menteri Besar di peringkat kerjaaan Pusat atau negeri mungkin menyebabkan Presiden melantik Datuk Ir Nizar Jamaluddin, bekas Menteri Besar Perak (2008-2009) menjadi Pengerusi Lajnah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang baru bagi penggal 2013-2015 menggantikan Ustaz Abdul Gani Samsuddin yang dilantik pula sebagai Timbalan Pengerusi di samping mengekalkan Pengarah Jabatan IT PAS (JITP) kepada penyandang sedia ada bagi memastikan operasi harian IT berjalan lancar tanpa tergendala.
Sebelum ini pada penggal 2011-2013, kedua-dua exco yang berkaitan portfolio ICT YB Datuk Dr Mohamed Fadzli Datuk Hassan dan YB Datuk Ismail Salleh dari Kerajaan Kelantan dan Kedah telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Lajnah ICT PAS Pusat.
Amalan melantik Exco ICT Kerajaan Negeri dibawah pimpinan PAS dalam Lajnah ICT Pas Pusat ini telah dimulakan seawal tahun 2001 (sebelum itu Lembaga Penasihat JITP sehingga 2005). Pada penggal lepas pun, apabila YB Datuk Haji Hanipa Ahmad dilantik sebagai EXCO ICT selepas PRU ke-13, beliau juga dilantik ke dalam Lajnah ICT PAS Pusat bagi memenuhi amalan dan ‘guideline’ awal anggota Lajnah ICT PAS Pusat.
Pada sesi sebelum ini, Lajnah ICT dan Jabatan IT PAS (JITP) dengan kerjasama Lajnah Penerangan telah mengadakan Persidangan ICT dan Media Baru 2011 bertempat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) pada 22 Oktober, 2011 telah berjaya merumuskan 5 resolusi penting melibatkan sumber manusia, infostruktur dan kandungan/aplikasi (rujuk http://pimb2011.pas.org.my) bagi memperkemaskan resolusi sebelum ini; SBIT2000 di Kuala Terengganu, KITP2003 di Kota Bharu dan PICT2007 di Gombak.
Dua perkara penting yang diterima oleh LICTPP dalam sesi lepas adalah kewujudan MarkazPAS FB dan Hijau.fm yang kedua-duanya berkongsi booth JITP untuk bertemu dengan pelanggan semasa Muktamar PAS ke-59 di Shah Alam bulan lepas.
Perkara penting yang diputuskan dalam mesyuarat terakhir LICTPP adalah berhubung dengan rebranding LICTPP ini kepada satu nama yang sesuai dengan peranannya yang sedang berkembang ekoran kepada berkembangnya bidang ICT ini yang melibatkan integrasi bidang teknologi maklumat, telekomunikasi, broadcasting dan multimedia.
Saya merasakan inilah cabaran terpenting kepada Lajnah ICT pada penggal 2013-2015 ini di samping program roadshow sambutan 15 Tahun JITP ke negeri-negeri pada 2014.
Tahniah kepada Ir Nizar dan selamat berkhidmat memimpin lajnah ICT 2013-2015.
Sumber HD - 20-12-2013