- Jan 15, 2014
- HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Rektor Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Dr Shahbudin Ngah (gambar) menyeru kepada seluruh pimpinan, ahli dan penyokong PAS untuk sama-sama kita bangunkan institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh PAS sendiri.
Beliau dalam satu kenyataan berkata, KUIZM adalah di bawah Dewan Ulamak PAS Pusat dan menjadi tanggungjawab ahli PAS di setiap peringkat untuk memberi sokongan dan dukungan yang padu.
Katanya, kemasukan pelajar baru untuk sesi 2013/2014 akan bermula pada 11 Februari ini.
Berikut kenyataan penuh beliau.
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) kini telah memasuki tahun ke-4 sejak mula beroperasi pada September 2010.
KUIZM yang telah ditubuhkan di bawah penyeliaan Majlis Pendidikan PAS Peringkat Kebangsaan (MPPPK) yang bernaung di bawah Dewan Ulamak PAS Pusat.
KUIZM membuka peluang kepada seluruh pelajar yang layak dan berminat untuk meneruskan pengajian di peringkat diploma.
Kemasukan pelajar baru untuk sesi 2013/2014 ini akan bermula pada 11 Februari 2014.
Dua Program Diploma yang kami tawarkan ialah Diploma Muamalat & Kewangan Islam dan Diploma Dakwah & Komunikasi.
Para pelajar lulusan Sijil Menengah Agama/Ugama (SMA/SMU), 4 Thanawi, Lulus Syahadah Tahfiz Al-Quran atau kelayakan yang diiktiraf setaraf layak memohon.
Pelajar-pelajar lepasan SPM dengan mendapat sekurang-kurangnya 3 kepujian dalam mana-mana subjek dan lulus Bahasa Arab Tinggi atau Bahasa Arab Komunikasi juga berpeluang mengikuti program yang ditawarkan.
Bagi pelajar yang ingin mengikuti program Diploma Muamalat & Kewangan Islam disyaratkan lulus subjek Matematik peringkat SPM.
Saya menyeru semua Ketua Urusan Ulamak PAS kawasan-kawasan di seluruh Malaysia menyahut seruan saya dalam muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat baru-baru ini dengan menghantar sekurang-kurangnya seorang pelajar dari kawasan masing-masing untuk menyambung pengajian di kolej PAS ini. Seelok-eloknya pelajar itu ditaja oleh kawasan berkenaan.
Pelajar-pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dalam program Diploma di KUIZM ini, akan berpeluang menyambung pelajaran di peringkat ijazah di IAIN Raden Fatah, Palembang.
Pengajian selama setahun seperti yang dipersetujui pada Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) antara KUIZM dan IAIN Raden Fatah melayakkan mereka untuk dianugerahkan ijazah sarjana muda bidang berkenaan.
Insyaallah pada tahun ini, KUIZM akan berusaha untuk membuat MoU dengan universiti-universiti di Timur Tengah seperti Yaman, Morocco, Jordan, Mesir dan sebagainya bagi memberi pilihan yang lebih kepada pelajar-pelajar KUIZM menyambung pelajaran di peringkat ijazah.
Selain program diploma, pihak kami juga menawarkan Kursus Persijilan Asas Pengajian Islam secara separuh masa yang mengambil tempoh selama 2 semester untuk melayakkan pelajar tersebut memperoleh sijil Asas Pengajian Islam.
Kursus ini diadakan pada hujung minggu memberi peluang kepada mereka yang sedang bekerja. Kursus persijilan ini juga akan bermula pada bulan Februari.
Pihak KUIZM juga turut menyediakan prasarana yang secukupnya untuk kemudahan pelajar-pelajar seperti asrama, surau dan juga pengajian-pengajian haraki, taqquh fiddin dan usrah.
Bagi calon-calon yang terplih dan memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan, pihak KUIZM ada menyediakan bantuan kewangan untuk meringankan beban kewangan mereka.
Pelajar-pelajar berminat boleh memohon secara online di laman http://www.kuizm.org/ atau mendapatkan borang terus di: Pejabat Pendaftar, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Lorong Hj Hassan, Off Jalan Batu Geliga, Taman Melewar, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.
Saya menyeru kepada seluruh pimpinan, ahli dan penyokong PAS untuk sama-sama kita bangunkan institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh PAS sendiri.
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) ini adalah di bawah Dewan Ulamak PAS Pusat dan menjadi tanggungjawab ahli PAS di setiap peringkat untuk memberi sokongan dan dukungan yang padu.
Sumber HD - 15-1-2014
No comments:
Post a Comment