Jika tak mahu bayar i-Kad, jangan ambil pekerja asing - Zahid
- Jan 13, 2014
- HARAKAHDAILY
Beliau berkata pada masa ini, kos bagi mengambil pekerja asing di Malaysia masih jauh lebih rendah berbanding yang dikenakan negara-negara lain walaupun dengan bayaran i-Kad tersebut.
"Kalau tidak setuju jangan ambil pekerja asing, hantar mereka pulang... di negara lain seperti Singapura dan UAE (Emiriah Arab Bersatu), mereka membayar tidak kurang daripada US$5,000 bagi setiap pekerja.
"Di Malaysia levi paling tinggi cuma RM1,850 dan dengan pemeriksaan kesihatan, i-Kad dan pelbagai bayaran lain, mereka membayar tidak lebih daripada RM3,000," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra sambutan pelajar baharu Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar kelmarin mengenai Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) yang membantah langkah kerajaan mengenakan bayaran RM110 untuk seorang pekerja asing memiliki i-Kad kerana didakwa membebankan para majikan.
Kira-kira 2.3 juta pekerja asing yang telah berdaftar untuk Program 6P wajib memiliki i-Kad yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan selewat-lewatnya akhir tahun ini sebagai usaha membanteras pendatang asing tanpa izin di negara ini.
Ahmad Zahid berkata majikan di negara ini sepatutnya menggaji rakyat tempatan yang masih ramai memerlukan pekerjaan.
Bagaimanapun, katanya para majikan sering kali memberikan alasan bahawa rakyat tempatan tidak mahu bekerja di sektor tertentu yang dipelopori warga asing pada masa ini.
"Jangan mengganggap orang tempatan tak nak bekerja tetapi kerajaan telah menetapkan gaji minimum, mereka hendaklah diberikan gaji minimum dan beberapa faedah...masalahnya mereka (majikan) mahu untung banyak, menggaji rendah," katanya. - Bernama
Sumber HD - 13-1-2014
Pekerja Nepal cuba merusuh di Pokok Sena
- Jan 12, 2014
- HARAKAHDAILY
Kejadian kira-kira 9 malam itu dipercayai melibatkan kira-kira 100 hingga 200 orang pekerja kilang terbabit yang berhimpun di hadapan pintu pagar rumah majikan mereka bagi meminta majikan supaya mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan rakan mereka yang sesak nafas di asrama pekerja.
Majikan tersebut yang bimbang berlakunya sesuatu setelah melihat para pekerja asing itu berkumpul beramai-ramai, enggan keluar untuk bertemu dengan kumpulan pekerja itu.
Pekerja-pekerja warga Nepal itu kemudian naik berang setelah mendapati rakan mereka yang sesak nafas itu telah mati ekoran kelewatan majikan mengambil tindakan segera.
Bagaimanapun polis yang tiba kira-kira 20 minit kemudian berjaya meleraikan kumpulan pekerja kilang terbabit dan menghubungi hospital untuk mengesahkan kematian salah seorang rakan mereka itu.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kota Setar DSP Mat Akhir Jaafar yang ditemui di tempat kejadian berkata tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku kerana majikan bertindak cepat menghubungi pihak polis setelah melihat keadaan makin tidak terkawal.
Katanya ekoran kejadian itu, pihak polis menahan tiga pekerja lelaki warga Nepal yang dipercayai mengetuai himpunan itu dan cuba mencetuskan huru hara.
"Hasil maklumat awal kumpulan pekerja terbabit bertindak demikian kerana sebelum ini sudah tiga orang rakan mereka mati secara mengejut di asrama terbabit namun majikan mereka tidak menyiasat puncanya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian lewat malam tadi.
Siasatan lanjut akan dijalankan dengan menyoal siasat ketiga-tiga mereka yang ditahan selain mengenal pasti punca kejadian.
"Punca kematian kita hanya bergantung kepada laporan doktor. Sebab apa yang kita siasat setakat ni, dia orang ni suka minum. Kadang-kadang minum minuman tak berjenama. Kita tak pasti minuman arak apa yang diminum menyebabkan mereka sakit," katanya.
Mayat pekerja yang mati dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk bedah siasat. - Bernama
Sumber HD - 12-1-2014
Haram Comango; hanya sembunyi sampah bawah karpet
- Jan 09, 2014
- MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF
Apatah lagi alasan tunggal pengharaman Comango ialah selain Comango itu tidak berdaftar, terdapat pertubuhan-pertubuhan yang bersama Comango tersebut turut tidak berdaftar. Dengan mengemukakan alasan dangkal ini, ia jelas bertentangan dengan mod keputusan perundangan mutakhir ini yang berpaksikan kepada pelbagai dokumen-dokumen antarabangsa dan domestik.
Saya tegaskan bahawa pandangan Comango dan gabungan pertubuhan yang bersamanya adalah satu isu yang khusus. Peka kepada apa yang dibawa oleh Comango bukan bermakna kita bersetuju sepenuhnya dengan mereka. Yang ingin saya nyatakan di sini adalah cara atau kaedah kerajaan atau KDN mendepani isu-isu kritikal yang kian melata.
Selain pelbagai hak rakyat kian dijelmakan melalui Perlembagaan Persekutuan, apakah KDN alpa tentang pelbagai gerakan masyarakat sivil hari ini yang tidak mungkin dimatikan dengan sekadar menghisytiharkan ianya haram? Yang disebut sebagai (civil society organisation, CSO) kian popular dan menjadi wadah terkini masyarakat dewasa ini.
Jika pun KDN tidak bersetuju dengan apa yang dibawa oleh Comango, pengharaman yang dilakukan sekali-kali tidak akan mematikan kewujudan Comango. Kesimpulan yang boleh saya katakan, pengharaman Comango adalah suatu kesilapan dalam bertindak.
Dalam mendepani isu-isu seperti Comango, kerajaan atau KDN perlu pelbagaikan kaedah dan tidak hanya bergantung kepada kaedah pengharaman semata-mata. Perlaksanaan undang-undang yang keras tidak akan menyelesaikan pertikaian bahkan ia akan mencambahkan lagi tentangan terhadap pendirian kerajaan.
Apakah isu sebenar yang dibawa oleh Comango baru-baru ini? Yang jelas, masyarakat terlalu dimomokkan bahawa gabungan Comango bersifat menentang Islam, dan melaungkan amalan seks bebas termasuk gay dan lesbian yang dikenali dengan kumpulan LGBT.
Yang paling jelas, siri tuntutan yang dikemukakan oleh gabungan Comango adalah dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan. Ia bukan dibuat atas dasar suka-suka tanpa nas perundangan yang sahih, termasuklah hak berkaitan agama itu sendiri.
Dalam isu agama dan Islam misalnya, jikapun mereka menuntut kebebasan beragama termasuklah hak orang Islam bertukar agama, satu persoalan yang perlu saya dan sekalian muslim bertanya, sejauhmanakah kita mempamerkan sucinya Islam dalam memelihara aqidah penganutnya?
Hanya Islam yang meletakkan suatu halangan mutlak kepada penganutnya untuk tidak meninggalkan Islam. Namun apakah usaha-usaha yang cukup proaktif telah kerajaan lakukan bagi memelihara kesucian Islam dari noda-noda murtad di Negara ini?
Demikian juga kedudukan Islam dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan agama yang menjadi ukuran dalam perundangan hari ini adalah turut dipengaruhi oleh sifat Islam sebagai agama persekutuan itu sendiri. Di manakah usaha proaktif kerajaan bagi menonjolkan Islam itu bukan sekadar dogma agama sepertimana agama lain? Masyarakat umum termasuklah mereka yang berada dalam kelompok intelek begitu jarang ditampilkan bahawa Islam itu suatu cara hidup dan bukan sekadar agama peribadatan.
Bila keadaan ini berlaku, Islam dilihat sama seperti agama-agama lain iaitu suatu dogma spiritual atau kerohanian semata-mata tanpa ada nilai-nilai kehidupan yang menyeluruh. Usah diberi alasan betapa kita mempunyai jabatan khusus bagi memelihara Islam dan adanya pelbagai sistem perbankan dan kewangan Islam.
Begitu juga dalam hal pertikaian penjagaan anak apabila salah seorang pasangan memeluk Islam. Dalam suasana langit terbuka hari ini, masyarakat terutamanya bukan Islam mencari-cari di manakah nilai keadilan Islam apabila kes sebegini berlaku.
Sekali lagi kerajaan melalui sistem perundangan yang ada gagal member ruang kepada masyarakat bukan Islam melihat nilai keadilan Islam untuk mereka. Kedudukan mahkamah syariah yang tidak terbuka untuk bukan Islam misalnya menambahkan lagi sempitnya Islam kepada bukan Islam.
Begitu pula halnya dengan isu jantina yang kita sebut sebagai kumpulan LGBT. Pernah saya menulis dalam salah satu ruang dalam Harakah betapa kumpulan LGBT ini berhadapan dengan suatu krisis biologi yang sukar. Saya lontarkan suatu pertanyaan untuk sama-sama kita renungkan, siapa yang pernah peduli tentang mereka?
Sekali-kali bukan hasrat saya untuk membenarkan setiap apa yang mereka lakukan. Namun kecuaian umat Islam terhadap saudara-saudara kita terutamanya yang berada dalam perangkap psikologi dan biologi ini telah menjadikan mereka mencari tempat untuk bergantung dan mengadu hal. Harus kita berhati-hati bahawa isu LGBT bukan hanya berkisar hubungan seks sejenis atau seks rambang. Ia lebih kompleks dari apa yang diwara-warakan kepada masyarakat.
Justeru, apabila KDN menunjukkan ketegasan dengan mengisytiharkan Comango sebagai haram, suatu kebimbangan yang bermain di fikiran saya adalah sejauhmanakah kesediaan kita sebenarnya mendepani isu-isu yang dibawa oleh gabungan ini. Isu berkaitan Islam, murtad, dan LGBT adalah sebahagian kecil sahaja yang dibawa oleh Comango.
Lebih dari itu, Comango mengemukakan pelbagai isu rakyat yang selama ini hanya dilihat sebagai terpencil dan terpisah. Pertikaian agihan kekayaan Negara, kelangsungan sistem keadilan dalam negara dan pencabulan berterusan terhadap hak-hak asasi rakyat adalah antara sekian banyak isu-isu yang turut dikemukakan tetapi dipadamkan begitu saja daripada diberi perhatian oleh masyarakat umum.
Yang jelas, tanggungjawab memelihara kesucian Islam bukan hanya keupayaan kita mengisytiharkan sesuatu itu halal atau haram. Jauh dari itu ialah keupayaan kita melaksanakan nilai-nilai Islam yang selama ini jauh dari perhatian kerajaan yang ada. Begitu juga dengan pelbagai isu rakyat. dengan gaya hidup yang cukup eksklusif yang ditonjolkan oleh pimpinan negara, adakah kita sebenarnya membuat setiap keputusan agihan kekayaan atas dasar tanggungjawab atau pun sekadar belian untuk memperkukuhkan kuasa yang ada?
Sumber HD - 9-1-2014
Pekerja asing; patutlah ramai menganggur
- Jan 08, 2014
- HAMBALI AKRAM
Keputusan kerajaan untuk tidak lagi membenarkan restoran makanan segera menggaji pekerja asing merupakan suatu langkah yang wajar dan tepat. Saya percaya pada ketika ini ribuan pekerja asing sedang bekerja dalam sektor berkenaan dan sekaligus menafikan peluang rakyat tempatan.
Namun, sesuatu yang menarik perhatian saya ialah salah satu punca ramai rakyat tempat kurang bekerja di restoran makan segera ialah kerana faktor gaji yang rendah. Berbanding pekerja asing, jumlah gaji tersebut secara relatifnya tinggi berbanding nilai wang di negara asal mereka.
Bukan setakat di restoran makanan segera, malah dalam sektor lain pun, ramai pekerja asing yang menerima gaji yang rendah. Majikan pula, tentulah mereka mahu meminimunkan kos gaji pekerja supaya keuntungan dapat digandakan.
Persaingan dari sudut ini menyebabkan rakyat tempatan semakin sukar mendapat pekerjaan. Ramai yang menganggur bukanlah semata-mata atas faktor memilih kerja atau tidak mahir berbahasa Inggeris – berkait juga dengan faktor majikan yang lebih suka memilih pekerja asing.
Bagi seorang pekerja asing, menerima gaji RM600 sebulan sudah cukup baik. Dengan jumlah tersebut mereka boleh menanggung makan-makan minum di negara ini dan sedikit untuk dihantar ke negara asal mereka.
Saya pernah berbual dengan seorang tukang gunting dari India. Dia mengatakan bahawa RM100 mempunyai nilai RM1,000 di tempat asalnya! Jadi setiap bulan, jika dia dapat mengirim RM100, nilainya sudah cukup mewah. Namun jika pekerja tempatan mengirim wang RM100 sebulan ke kampung, apakah yang dapat dibeli dengan nilai tersebut?
Oleh itu, saya berpandangan, kerajaan bukan sahaja perlu menyekat pengambilan pekerja asing ini malah turut perlu mengambil kira gaji yang ditawarkan setara dengan nilai dan kos sara hidup semasa. Jika tidak, dasar ini tidak ke mana dan pekerja asing terus mendapat tempat di hati majikan.
Sumber HD - 8-1-2014
No comments:
Post a Comment