Jabatan Perpaduan Negara saran dialog tertutup isu kalimah Allah
- Jan 12, 2014
- HARAKAHDAILY
Ketua Pengarahnya, Datuk Azman Amin Hassan berkata perkara itu perlu ditangani dengan baik di meja rundingan bagi mengekalkan perpaduan yang sedia terjalin antara penganut pelbagai agama di negara ini, sekali gus mengelak perkara tidak diingini daripada berlaku.
"Kita melihat jangan ada pihak menggunakan isu ini untuk tujuan meraih keuntungan politik dan meneruskan usaha-usaha yang boleh membakar semangat (sentimen) kerana soal agama adalah sensitif.
"Kalau kedua-dua pihak beri fokus dan berniat ikhlas untuk selesaikan, benda ini boleh kita selesaikan secara damai dan bukan dengan cara menghimpunkan lebih ramai orang untuk berdemonstrasi," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Transformasi Minda dan Perjumpaan Awal Tahun jabatan itu di sini hari ini.
Mahkamah Rayuan sebelum ini membuat keputusan tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan majalah Herald. Penerbit majalah itu telah membawa perkara ini untuk rayuan di Mahkamah Persekutuan yang dijangka bersidang dan membuat keputusan pada 24 Feb ini.
Isu itu terus menarik perhatian apabila Paderi Katolik Lawrence Andrew dilaporkan bertegas bahawa gereja di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah walaupun Mahkamah Rayuan telah mengeluarkan larangan itu.
Selain itu, Jais merampas lebih 300 naskah bible versi bahasa Melayu dan Iban sebagai usaha membanteras penggunaan kalimah Allah dalam kitab berkenaan dalam serbuan terhadap PBM di Petaling Jaya awal bulan ini.
Di SHAH ALAM, Umno Selangor kesal dengan tindakan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menurutnya tidak memegang kepada aku janji yang dilafazkan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memelihara dan melindungi kesucian agama Islam di negeri itu.
Abdul Khalid dilaporkan berkata baru-baru ini bahawa kerajaan Selangor mengarahkan Jais mendapatkan pengesahan Kementerian Dalam Negeri berhubung status naskah Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang dirampas itu.
Noh berkata Umno Selangor akan memulakan satu 'road show' dalam tempoh terdekat untuk menjelaskan mengenai isu kalimah Allah serta rampasan Bible itu. - Bernama
Sumber HD - 12-1-2014
Injil ramal kedatangan Nabi Muhammad cetus minat Vatican
- Jan 12, 2014
- HARAKAHDAILY
The Muslim Times melaporkan, Pope Benedict XVI didakwa mahu melihat kitab berusia 1,500 tahun itu yang dipercayai sebagai Injil menurut Barnabas (Gospel of Barnabas) yang disembunyikan penemuannya oleh pemerintah Turki sejak 12 tahun lalu.
Injil yang ditulis di atas kulit binatang itu ditemui polis Turki semasa operasi antipenyeludupan pada tahun 2000.
Buku besar (tome) dianggar bernilai 14 juta pound sterling itu ditulis dengan dakwat emas menggunakan bahasa Aramaic.
Ia dikatakan mengandungi ajaran-ajaran awal agama Nasrani dan ramalan kedatangan nabi akan datang.
Sumber HD - 12-1-2014
Isu kalimah Allah agenda politik - Aziz Bari
- Jan 11, 2014
- MUHAMMAD FAIZAL
KUALA LUMPUR: Pakar Perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari mempersoalkan siapa sebenarnya keliru dalam isu kalimah Allah yang telah ditimbulkan sejak kebelakangan ini.
Beliau pada program wacana "Polemik Kalimah Allah dan Rampasan Bible, antara undang-undang dan sensitiviti agama" anjuran PAS Lembah Pantai semalam di KL Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) menjelaskan golongan yang keliru adalah mereka yang tidak mengetahui apa itu Islam secara mendalam.
"Saya tidak nampak siapa yang keliru dalam isu ini, penjelasan daripada penganut Kristian dan mereka yang hadir mendengar wacana tidak ada seorang pun yang keliru.
"Malah di luar sana kebanyakan mereka boleh menerima kerana tidak ada satu pun ancaman yang timbul.
"Kalau tidak ada yang keliru, jadi mereka yang memperbesarkan isu ini sebenarnya keliru. Kalau golongan yang faham sebenarnya erti Islam tidak timbul perasaan keliru tetapi jika sebaliknya inilah yang terjadi," jelas beliau di hadapan kira-kira 200 yang hadir.
Beliau yang turut mempertikaikan pandangan sesetengah pihak mengatakan wujud ancaman kepada umat Islam di negara ini apabila kalimah Allah diguna oleh masyarakat Kristian.
Katanya, masyarakat Islam merupakan golongan majoriti di negara ini dan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan, adalah suatu yang mustahil jika golongan Kristian yang minoriti mampu mengancam keamanan negara ini.
"Wujud ancaman, saya tidak nampak langsung ancaman kepada umat Islam di negara ini. Kita berada dalam kelompok majoriti dan bagaimana golongan minoriti dapat mengancam kita.
"Semua kenyataan tersebut tidak boleh diterima akal, negara mempunyai undang-undang dan kita berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam adalah agama rasmi, jadi bagaimana Kristian boleh timbulkan ancaman.
"Saya tegaskan Perlembagaan yang ada tidak pernah gagal dalam pelaksanaannya, tetapi yang gagal adalah kita yang tidak dapat memahami roh dalam Perlembagaan tersebut termasuk juga gagalnya kita memahami apa Islam sebenarnya," sambung beliau.
Menurut beliau, isu yang telah ditimbulkan ini telah memberikan publisiti negatif kepada negara di peringkat antarabangsa kerana gagal mewujudkan suasana hormat menghormati antara pelbagai kaum dan anutan agama.
Malah jelasnya lagi, isu tersebut sengaja disebarkan bagi tujuan keuntungan kepada pihak tertentu sahaja.
"Negara ini telah mendapat publisiti negatif secara percuma kerana kita gagal mewujudkan suasana harmoni dan saling menghormati antara pelbagai kaum dan agama.
"Agenda ini hanya untuk keuntungan kepada pihak tertentu sahaja, yang bertujuan untuk kepentingan politik serta mengalihkan isu yang lebih penting seperti bebanan hidup yang dihadapi oleh rakyat.
"Sebelum ini isu 13 Mei dihangatkan bagi menakutkan orang Melayu terhadap kaum Cina, kemudiaan Syiah pula diperluaskan dengan menuju kepada pimpinan PAS sebagai menarik undi Melayu dan sekarang cuba menakutkan Melayu dengan Kristian, jadi agenda-agenda sedemikian kita perlu berhati-hati agar tidak termasuk dalam perangkap," jelasnya.
Beliau yang meminta agar semua pihak membuat tindakan susulan untuk merungkaikan kekeliruan dan salah faham yang sengaja disebarkan oleh pihak tertentu untuk mendapat keuntungan politik semata-mata.
"Isu seperti ini memang diberi perhatian oleh masyarakat Melayu dan saya berharap usaha yang bersungguh-sungguh perlu dibuatkan bagi memberi penjelasan kepada orang Melayu agar mereka lebih faham dan tidak termakan dengan komen atau pandangan sempit serta negatif yang tidak selaras dengan masyarakat majmuk negara ini.
"Sebagai umat Islam yang sepatutnya menegakkan yang makruf dan menegahkan yang mungkar, sepatutnya mereka perlu hayati konsep Islam itu yang dibawa oleh Rasulullah SAW sebelum ini untuk kesejahteraan seluruh masyarakat dunia dan bukan untuk golongan tertentu sahaja," sambung beliau.
Beliau yang pada masa yang sama turut memberitahu apa yang diperkatakan bukan bermaksud menentang keputusan istana tetapi bagi meredakan kekeliruan yang wujud dalam masyarakat negara ini terutamanya golongan Melayu.
Turut menjadi panel pada wacana semalam adalah Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat serta Setiausaha Agung National Evangelical Christian Fellowship Malaysia (MECF), Eugene Yapp.
Moderator - Razak Ridzuan
Dr Aziz Bari - https://www.youtube.com/watch?v=Cm-31txLeQ4
Dr Aziz Bari - https://www.youtube.com/watch?v=VVg7KVnBy8U
Eugene Yapp - https://www.youtube.com/watch?v=jmjtBz_so34
YB Dr Mujahid Rawa - https://www.youtube.com/watch?v=UJA7cMN_Slw
YB Dr Mujahid Rawa - https://www.youtube.com/watch?v=xcZ0gJsN8XA
Eugene Yapp - https://www.youtube.com/watch?v=HGtl-ROuhzM
YB Dr Mujahid Rawa - https://www.youtube.com/watch?v=8cL2DlBJHsA
Dr Aziz Bari - https://www.youtube.com/watch?v=IWYftOxZ8K4
YB Dr Mujahid Rawa - https://www.youtube.com/watch?v=Act4AxqrIGE
Eugene Yapp - https://www.youtube.com/watch?v=I2eloLAXQI4
YB Dr Mujahid Rawa - https://www.youtube.com/watch?v=Yb-2TfwbPiw
Sumber HD - 11-1-2014
Mualaf hairan kalimah Allah jadi polemik
- Jan 08, 2014
- HARAKAHDAILY
Penyampai itu yang kini merupakan pensyarah mengenai Islam, yang memeluk agama Islam pada 1995, dan telah menerbitkan memoir beliau bertajuk From MTV to Mecca", semalam menyifatkan isu itu sebagai luar biasa dan orang ramai patut gembira mengenainya.
"Anda tahu 'Allah' ialah nama untuk Tuhan dalam bahasa Arab. Ia digunakan dalam dunia Arab oleh penganut Kristian untuk Tuhan (God)...untuk menggambarkan God (mereka). Jadi kenapa kita perlu merungut mengenainya?" soalnya semasa menjawab soalan daripada audien di Pusat Maklumat Islam (IIC), di sini.
Sambil mengakui beliau masih tidak faham kenapa kalimah Allah menjadi isu kontroversi di Malaysia, tidak sepertimana di negara-negara Islam yang lain dengan kalimah itu digunakan penganut Kristian, beliau percaya isu itu telah dipolitikkan.
Backer berada di sini atas jemputan IIC untuk menyampaikan syarahan mengenai "From MTV to Mecca: How Islam Inspired My Life".
Syarahan itu merupakan satu daripada usaha pusat itu untuk menggalakkan dan menyebarkan kesejagatan Islam, serta meningkatan kefahaman dan penghargaan terhadap Islam dalam kalangan penduduk pelbagai etnik dan agama di Sarawak.
Selain sering dijemput menjadi penceramah dalam acara-cara peringkat antarabangsa, Backer juga baru-baru ini menjadi pengacara program pengembaraan 'Travel Channel'. - Bernama
Sumber HD - 8-1-2014
Polis rakam keterangan Paderi Lawrence
- Jan 08, 2014
- HARAKAHDAILY
Peguam Lawrence, Francis Pereira berkata anak guamnya dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada pukul 3.30 petang dan selesai merakamkan keterangannya kira-kira pukul 5 petang semalam.
"Kami dimaklumkan polis menyiasat perkara ini mengikut Seksyen 4, Akta Hasutan berhubung kenyataannya kepada wartawan portal berita (The Malaysian Insider.com) Eileen Ng, minggu lalu," kata Pereira ketika dihubungi.
Paderi Lawrence dipetik oleh portal berita itu pada 27 Dis lepas sebagai berkata bahawa semua gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan mereka.
Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan pengesahan. - Bernama
Sumber HD - 8-1-2014
KDN perlu jelaskan isu penggunaan kalimah Allah – Sallehen
- Jan 07, 2014
- SAIDAH HAIRAN
SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Ustaz Sallehen Mukhyi akan mengadakan pertemuan segera dengan Menteri Dalam Negeri bagi mendapatkan penjelasan berhubung penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu.
Ini kerana katanya, terdapat percanggahan antara Penyelesaian 10 Perkara yang diputuskan Jemaah Menteri pada 2011 dan dinyatakan dalam kenyataan akhbar pada 2 April 2011.
Beliau mahu Menteri KDN menjelaskan sejauh mana Penyelesaian 10 Perkara itu bertentangan dengan Enakmen 1988 berhubung Agama Bukan Islam di Selangor (Kawalan Penyebaran Agama Kepada Orang Muslim) yang melarang penganut agama lain menggunakan 35 perkataan termasuk Allah, Nabi dan Injil.
Menurutnya, enakmen tersebut telah dikuatkuasakan di Selangor sejak 1988 dan ianya selaras dengan titah Sultan Selangor yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain di negeri ini.
Beliau juga ingin mendapatkan penjelasan KDN sama ada kelulusan naskah Bible dalam bahasa Melayu tidak terpakai di negeri Selangor.
"Ada 10 cadangan (penyelesaian) yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KDN, Dato' Seri Mahmood Adam pada tahun 2011.
"Saya akan jumpa dengan Menteri KDN secepat mungkin untuk mendapatkan penjelasan dan Menteri tersebut perlu berterus terang apa yang dia hendak dengan surat yang dia telah buat ini," tegasnya dalam sidang media, pagi tadi di pejabat beliau di tingkat 15, Bangunan SUK, dekat sini.
Sallehen juga mengingatkan semua pihak agar tidak bersikap ‘keras kepala’ dan bertindak ganas dalam menangani konflik membabitkan agama sebaliknya lebih mengutamakan perbincangan dan bersikap saling hormat menghormati.
"Jangan ada orang politik yang ulas isu ini supaya parti mereka mendapat keuntungan," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Paderi Lawrence Andrew.
Pertemuan itu diadakan ekoran isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor terhadap Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Damansara dan merampas 300 kitab Bible versi Bahasa Melayu dan Iban.
Salehin menjelaskan, kitab Bible yang dirampas Jais itu turut mengandungi cop Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Sallehen menyifatkan pertemuan itu sebagai tanda persahabatan dan saling hormat menghormati antara penganut agama.
Kerajaan negeri, ujarnya akan memperkemaskan tatacara operasi standard (SOP) Jais dengan mengkehendaki badan penguatkuasa agama berkenaan memaklumkan kepada Exco terlebih dahulu berhubung isu antara agama..
Beliau turut mencadangkan penubuhan majlis perunding yang berperanan menyelesaikan sebarang masalah berbangkit antara agama dan kaum di negeri ini.
Turut hadir dalam sidang media itu Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, Adun Seri Andalas, Xavier Jayakumar dan Adun Bangi, Ustaz Shafie Ngah.
Sumber HD - 7-1-2014
Insiden serbuan persatuan Bible tidak harus berlaku
- Jan 07, 2014
- taufik
Katanya MKPN percaya isu membabitkan sensitiviti agama Islam yang hangat diperdebatkan ketika ini boleh diselesaikan dengan kaedah perbincangan tanpa mencemarkan agenda perpaduan nasional.
"MKPN kesal dengan serbuan tersebut dan menggesa kerajaan supaya mematuhi resolusi penyelesaian 10 perkara yang dicapai bersama kumpulan-kumpulan Kristian di negara ini pada April 2011," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pertama MKPN di sini semalam.
Penubuhan MKPN diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Nov lalu, sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan perpaduan kaum terus teguh.
Antara ahli MKPN yang hadir adalah Ahli Lembaga Pengarah Sisters in Islam (SiS) Datin Paduka Marina Mahathir, anggota Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rapiee dan selebriti Wardina Safiyyah.
Samsudin berkata MKPN menggesa kerajaan supaya mematuhi resolusi penyelesaian 10 perkara yang dicapai bersama kumpulan-kumpulan Kristian di negara ini pada April 2011.
"Itu antara 10 penyelesaian daripada ahli-ahli MKPN dalam mesyuarat hari ini berhubung isu kalimah Allah, serbuan Jais dan demonstrasi aman di Selangor," katanya sambil menambah usul penyelesaian ini akan dibawa ke pengetahuan kerajaan secepat mungkin.
Beliau berkata tindakan serbuan Jais itu jelas melanggar kandungan resolusi Penyelesaian 10 Perkara yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala pada 2011, yang mana Putrajaya akan mengizinkan pengimportan Alkitab dalam semua bahasa, termasuk terjemahan Bahasa Malaysia/Indonesia.
Samsudin berkata antara penyelesaian lain adalah pihaknya akan mengadakan perbincangan tertutup dengan pemimpin agama, pihak berkuasa dan kumpulan berkaitan secepat mungkin.
Pada insiden Khamis lepas, Jais menyerbu pejabat Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Damansara Kim dan merampas 300 bible versi Bahasa Malaysia dan Iban sebagai usaha membanteras penggunaan kalimah Allah dalam kitab itu yang didakwa melanggar Enakmen 1988.
Samsudin berkata tugas MKPN ketika ini adalah mengadakan dialog perpaduan di seluruh negara bersama masyarakat bagi mendapatkan maklum balas tentang perpaduan negara sebelum dibentangkan kepada kerajaan dalam tempoh enam bulan.
"Sasaran kita adalah apa yang diharapkan kerajaan iaitu menyediakan rangka tindakan untuk perpaduan. Kita akan berusaha memenuhi apa yang diminta perdana menteri (sediakan laporan)," katanya. - Bernama
Sumber HD - 7-1-2014
Kalimah Allah: PAS minta Majlis Fatwa buat ketetapan
- Jan 06, 2014
- HAZAYANI ZAKARIA
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan mesti memanggil sidang khas segera bagi menyelesaikan isu penggunaan kalimah Allah ini yang menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.
"Saya menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan membuat ketetapan berhubung penggunaan kalimah Allah kerana orang bukan Islam dan orang Islam sendiri nak tahu mana satu yang betul dan selari dengan agama Islam.
Majlis Fatwa Kebangsaan perlu menyelesaikan isu ini secara bijaksana supaya tidak berlaku kekeliruan orang bukan Islam ke atas Islam," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.
Beliau berkata, kekeliruan timbul apabila Kerajaan Persekutuan membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di Sabah dan Sarawak tetapi tidak boleh digunakan di Selangor.
"Mengikut Enakmen 1988 iaitu Agama bukan Islam di Selangor (Kawalan Penyebaran Agama kepada Orang Muslim), orang bukan Islam dilarang menggunakan kalimah Allah tetapi Kerajaan Persekutuan membenarkan orang kristian menggunakan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak.
"jadi orang nak tahu yang mana satu betul dan selari dengan ajaran Islam dan yang mana tidak betul. Di sinilah perlunya ketetapan Majlis Fatwa kebangsaan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Tegas beliau juga, anggota Majlis Fatwa Kebangsaan perlu dilantik semula jika gagal menyelesaikan isu kalimah Allah ini.
"Kalau Majlis Fatwa Kebangsaan tidak boleh keluarkan ketetapan isu ini, elok bubar dan lantik orang baru," katanya.
DMO : https://www.youtube.com/watch?v=dnddht6w3YQ
Sumber HD - 6-1-2014
Serbuan Jais & undang-undang kawalan agama
- Jan 06, 2014
- ABDULLAH ABDUL KARIM
Menurut laporan media, di dalam serbuan tersebut JAIS telah merampas 300 naskah ‘Al Kitab’ yang merupakan kitab Injil dalam Bahasa Melayu dan juga ‘Bup Kudus’, kitab Injil dalam Bahasa Iban . Serbuan oleh JAIS ini telah mengundang kemarahan dari kalangan pemimpin agama Kristian dan juga aktivis hak asasi dan pengamal undang-undang di mana JAIS di dakwa telah melanggar hak kebebasan beragama yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan di samping JAIS sendiri bertindak di luar dari bidang kuasa yang ada padanya.
Bagaimanapun JAIS di dalam respon balasnya menegaskan bahawa serbuan tersebut adalah sah di sisi undang-undang dan JAIS mempunyai kuasa untuk berbuat demikian memandangkan serbuan dan rampasan kitab Injil tersebut di buat berdasarkan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 (Enakmen 1 Tahun 1988) (selepas ini dirujuk sebagai “Enakmen” sahaja) oleh kerana kitab Injil yang dirampas tersebut menggunakan kalimah ‘Allah” yang dilarang penggunaannya oleh penganut agama lain sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Enakmen tersebut.
Tulisan ringkas ini tidak bermaksud untuk meyemarakkan lagi kemarahan mana-mana pihak. Tetapi tulisan ini akan memberi analisa ringkas secara objektif dan rasional terhadap undang-undang yang didakwa digunakan oleh JAIS bagi menjustifikasikan tindakannya menyerbu premis milik BSM dan seterusnya merampas kitab-kitab Injil yang disimpan di premis tersebut.
Pertamanya, harus difahami bahawa Enakmen tersebut yang digunakan oleh JAIS adalah suatu enakmen yang telah diperbuat dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sejak tahun 1988 lagi.
Enakmen ini adalah selaras dengan peruntukan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa undang-undang negeri boleh diadakan untuk MENGAWAL atau MENYEKAT pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama lain di kalangan orang yang menganut agama Islam.
Dalam hal ini, bukan hanya negeri Selangor sahaja yang mempunyai undang-undang seperti ini. Kebanyakan negeri-negeri di Malaysia (kecuali Wilayah Persekutan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak) juga mempunyai undang-undang yang sama yang diluluskan oleh badan perundangan negeri masing-masing.
Sungguhpun demikian kandungan peruntukan enakmen ini tidaklah sama meskipun mempunyai hasrat dan semangat yang sama iaitu untuk mengawal dan seterusnya menghalang sebarang bentuk penyebaran iktikad agama-agama lain ke atas penganut agama Islam.
Rampasan kitab Injil
Seterusnya, pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan serbuan JAIS ini menghujahkan bahawa JAIS telah bertindak di bidangkuasanya dan dengan itu serbuan dan rampasan kitab Injil yang dibuat adalah tidak sah dan menyalahi undang-undang (illegal). Dalam menilai hujah ini dalam konteks peruntukan Enakmen tersebut, terdapat dua perkara yang perlu diteliti, iaitu :
1) Apakah JAIS mempunyai bidangkuasa untuk menguatkuasakan atau menjalankan kuasa-kuasa yang diperuntukkan di dalam Enakmen tersebut?
2) Adakah menerbitkan, memiliki atau menyimpan kitab Injil yang mengandungi kalimah “Allah” adalah suatu kesalahan di bawah Enakmen tersebut?
Bagi menjawab soalan samada JAIS mempunyai bidangkuasa untuk menjalankan apa-apa kuasa atau tindakan dibawah Enakmen tersebut, kita perlu melihat peruntukan khusus di dalam Enakmen tersebut.
Di dalam Seksyen 12 Enakmen tersebut yang berkaitan dengan kuasa untuk menyiasat dan menangkap, dinyatakan bahawa “Pegawai bertauliah boleh menyiasat apa-apa kesalahan di bawah Enakmen ini dan boleh menangkap tanpa waran mana-mana orang yang disyaki telah melakukan mana-mana kesalahan itu.”
Jelas bahawa Seksyen 12 ini tidak memberikan JAIS atau pegawai-pegawainya kuasa secara automatik menjalankan kuasa siasatan dan tangkapan bagi maksud kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen ini. Tetapi yang diberikan kuasa ialah “Pegawai Bertauliah”. Isunya sekarang siapakah dia yang dimaksudkan dengan ‘Pegawai Bertauliah’ ini dan siapa pula yang berkuasa melantik “Pegawai Bertauliah” tersebut?
Pegawai Bertauliah
Di dalam Seksyen 2 (Tafsiran) bagi Enakmen tersebut, “Pegawai Bertauliah” ditafsirkan sebagai “pegawai awam yang bertauliah di bawah Seksyen 10 supaya menjalankan kuasa-kuasa pegawai bertauliah di bawah Enakmen ini;”.
Seksyen 10 Enakmen pula memperuntukkan “Raja Dalam Mesyuarat boleh secara bertulis mentauliahkan mana-mana pegawai awam supaya menjalankan kuasa-kuasa pegawai bertauliah di bawah Enakmen ini”.
Berdasarkan Seksyen 2 dan Seksyen 10 ini, ‘Pegawai Bertauliah’ yang boleh menjalankan penguatkuasaan Enakmen ini hendaklah dari kalangan pegawai awam dan yang berkuasa membuat perlantikan Pegawai Bertauliah ini ialah Raja atau Sultan bagi negeri Selangor. Harus diingat Istilah ‘pegawai awam’ tidak ditakrifkan di dalam Enakmen ini. Bagaimanapun dengan merujuk kepada Akta Tafsiran 1967 (Akta 388), pegawai awam atau ‘public officer’ ditakrifkan sebagai ‘a person lawfully holding, acting in or exercising the functions of public office”.
Dengan melihat kepada peruntukan Seksyen 2 dan 10 Enakmen ini, apa yang jelas ialah meskipun JAIS adalah sebuah jabatan kerajaan yang termasuk di dalam kategori perkhidmatan awam (public services) sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perkara 132(1)(g) Perlembagaan Persekutuan, namun ianya tidak bermaksud JAIS di atas kapasitinya sebagai sebuah jabatan kerajaan boleh terus dianggap sebagai ‘Pegawai Bertauliah’ yang berkuasa untuk menjalankan siasatan dan tangkapan di bawah Enakmen ini.
Merujuk kepada Seksyen 2 dan 10, perlantikan ‘Pegawai Bertauliah’ di bawah Enakmen ini hendaklah dibuat atas kapasiti peribadi atau jawatan yang disandang dengan syarat orang yang dilantik hendaklah dari kalangan pegawai awam. Ini sebenarnya adalah bertepatan dengan peruntukan Seksyen 96 Akta Tafsiran 1967.
Ini bermakna, dari segi undang-undang kesemua pegawai-pegawai penguatkuasa JAIS dan anggota polis yang datang menyerbu premis milik BSM di Damansara Kim hendaklah setiap seorang dari mereka memiliki tauliah perlantikan bagi membolehkan mereka menjalankan kuasa-kuasa di bawah Enakmen tersebut.
Sebagaimana yang ditegaskan sebelum ini, menjawat jawatan sebagai pegawai JAIS atau pegawai polis tidak secara automatik membolehkan pegawai JAIS atau anggota polis ini menjalankan serbuan ke atas premis BSM tersebut. Oleh yang demikian, tindakan JAIS hanya boleh dianggap tidak sah dan berlawanan dengan undang-undang sekiranya berjaya dibuktikan pegawai-pegawai JAIS yang terlibat dengan serbuan semalam tidak dilantik dengan sempurna sebagai ‘Pegawai bertauliah” menurut Seksyen 10 Enakmen tersebut.
Hak kebebasan beragama
Berhubung dengan persoalan kedua iaitu adakah memiliki dan menyimpan kitab Injil yang mengandungi kalimah “Allah” adalah suatu kesalahan di bawah Enakmen tersebut, Presiden kepada Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST), Jagir Singh di dalam kenyataannya kepada portal The Malaysian Insider (TMI) 3 Januari lalu menyatakan bahawa tindakan serbuan oleh JAIS adalah melanggar hak kebebasan beragama sebagaimana yang dijamin di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Tambah beliau lagi naskah kitab Injil yang dirampas adalah hanya untuk kegunaan penganut Kristian dan tidak bertujuan untuk digunakan bagi menyebarkan ajaran Kristian kepada penganut agama Islam di Selangor (lihat laporan bertajuk “Selangor Islamic authorities wrong to seize Bibles, say lawyers, non-Muslim Group” bertarikh 4 Januari 2013 di dalam portal The Malaysian Insider).
Dalam hal ini sekali lagi kita harus merujuk kepada peruntukan-peruntukan di dalam Enakmen tersebut untuk melihat apakah peruntukan kesalahan yang berkemungkinan besar digunakan JAIS yang membawa kepada serbuan tersebut.
Berdasarkan kepada kenyataan yang dikeluarkan JAIS sebelum ini, penulis percaya JAIS menggunakan Seksyen 9 Enakmen tersebut yang memperuntukkan “kesalahan berhubung dengan penggunaan perkataan-perkataan dan perbahasan tertentu yang bersumber Islam”. Seksyen 9 menyatakan :
(1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia---
(a) dalam apa-apa tulisan yang diterbitkan; atau
(b) dalam apa-apa ucapan atau pernyataan awam; atau
(c) dalam apa-apa ucapan atau pernyataan yang ditujukan kepada mana-mana perhimpunan orang; atau
(d) dalam apa-apa ucapan atau pernyataan yang diterbit atau disiarkan dan yang pada masa ucapan atau pernyataan itu dibuat dia tahu, atau munasabahnya patut tahu ianya akan diterbitkan atau disiarkan,
menggunakan mana-mana perkataan yang disenaraikan dalam Bahagian I kepada Jadual, atau apa-apa perkataan terbitan atau variasinya, untuk menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau hal mengenai atau berkaitan dengan sesuatu ugama bukan Islam.
(2) Seseorang yang tidak berugama Islam adalah melakukan suatu kesalahan jika dia, dalam hal keadaan yang dinyatakan dalam seksyen kecil (1), menggunakan mana-mana perbahasan yang disenaraikan dalam Bahagian II kepada Jadual, kecuali sebagai petikan atau rujukan.
(3) Seseorang yang melakukan kesalahan di bawah seksyen kecil (1) atau (2) boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi satu ribu ringgit.
(4) Raja dalam Mesyuarat boleh, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, meminda Jadual.
Secara ringkasnya, meskipun seseorang itu menerbitkan apa-apa tulisan yang menggunakan mana-mana perkataan yang dilarang di dalam Bahagian I kepada Jadual di dalam Enakmen tersebut bukan dengan tujuan untuk menyebarkan ajaran agama lain kepada penganut agama Islam, ianya tetap dianggap sebagai satu kesalahan di bawah Enakmen ini yang membawa hukuman maksimum denda seribu ringgit.
Dalam kes serbuan oleh JAIS ini, serbuan dan rampasan ke atas naskah kitab Injil tersebut dibuat kerana di dalam naskah tersebut terdapat perkataan ‘Allah’ yang telah sedia disenaraikan di dalam Jadual I kepada Enakmen tersebut sebagai antara ‘Perkataan-perkataan yang tidak boleh digunakan berkaitan dengan ugama bukan Islam’. Jadual 1 ini adalah sebahagian dari Enakmen dan kalimah ‘Allah’ ini rupanya telah dilarang untuk digunakan oleh penganut agama bukan Islam sejak dari tahun 1988 lagi.
Berdasarkan kepada fakta di atas, alasan bahawa naskah-naskah kitab Injil tersebut adalah ekslusif kepada penggunaan di kalangan penganut Kristian sahaja untuk upacara ibadat mereka nampaknya tidak boleh menyelamatkan BSM dari penguatkuasaan Enakmen ini. Namun, sekiranya berlaku pendakwaan ke atas BSM atau pemegang-pemegang jawatan di dalamnya kelak, pihak pendakwa harus membuktikan bahawa naskah kitab Injil yang dirampas adalah diterbitkan oleh BSM. Sekadar memiliki atau menyimpan naskah Injil tersebut biarpun dalam kuantiti yang banyak tidak merupakan suatu kesalahan yang boleh di dakwa di bawah Enakmen tersebut.
Kesimpulan yang boleh dibuat terhadap kedua-dua persoalan pokok yang diajukan di atas untuk melihat samada tindakan JAIS itu bercanggah dengan undang-undang nampaknya tidak boleh ditentukan secara melulu kerana terdapat perkara-perkara yang memerlukan penelitian lanjut.
Penulis percaya sekiranya tindakan JAIS ini dicabar di mahkamah atau pendakwaan dijalankan ke atas BSM di bawah Enakmen ini, barulah dapat ditentukan secara tuntas samada tindakan JAIS ini berlanggar dengan undang-undang atau pun tidak.
Hal seterusnya yang juga menarik untuk dilihat ialah mahkamah manakah yang mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan kes–kes yang didakwa dibawah Enakmen ini.
Memandangkan intipati utama Enakmen ini adalah berkaitan dengan kesalahan menyebarkan iktikad atau kepercayaan agama lain kepada penganut agama Islam, maka logiknya sudah tentulah kesalahan tersebut dilakukan oleh orang bukan Islam. Dalam hal ini, Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidangkuasa ke atas mereka yang menganut agama Islam sahaja.
Oleh itu, tentulah kesalahan di bawah Enakmen ini adalah di bawah bidangkuasa mahkamah sivil untuk membicarakannya. Tambahan pula terdapat kesalahan-kesalahan di dalam Enakmen ini yang membawa hukuman maksimum melebihi dari had hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah. Contohnya, jika seseorang itu disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 4 Enakmen tersebut, dia boleh dijatuhkan hukuman penjara untuk tempoh tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau keduanya sekali.
luar bidang kuasa
Jika dilihat dari kuantum hukuman yang boleh dijatuhkan dibawah Enakmen ini, adalah jelas ianya diluar bidangkuasa Mahkamah Syariah memandangkan Mahkamah Syariah hanya boleh mengenakan denda maksimum setakat RM5000 sahaja berdasarkan peruntukan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965.
Akhir sekali, adalah menarik juga untuk dikaji kes-kes pendakwaan yang pernah dibuat berdasarkan Enakmen ini atau enakmen-enakmen yang seumpanya yang dikuatkuasakan di lain-lain negeri. Setakat kajian yang dibuat, hanya sekali sahaja pendakwaan pernah dibuat berkait dengan kesalahan menyebarkan ajaran agama lain ke atas penganut agama Islam iaitu kes yang berlaku di negeri Pahang pada tahun 2002.
Di dalam kes tersebut iaitu kes Pendakwaraya v. Krishnan a/l Muthu dimana Orang Kena Tuduh (OKT) telah didakwa dan disabitkan di bawah Seksyen 4(2)(i) Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam Negeri Pahang 1989 kerana telah memujuk dan memaksa seorang wanita beragama Islam untuk memeluk agama Hindu.
Di dalam kes ini, OKT telah djatuhkan hukuman penjara selama 20 hari dan denda sebanyak RM1,500.00 (lihat kertas kerja bertajuk “Undang-Undang Kawalan Penyebaran Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam – Satu Penilaian Selepas 50 Tahun Perlembagaan Persekutuan” yang ditulis oleh Dr Nurhafilah Musa, Pensyarah Fakulti Undang-Undang UKM untuk dibentangkan di dalam Persidangan Tuanku Jaafar pada 2007).
Sesungguhnya, insiden yang berlaku ini akan sekali lagi menguji kematangan rakyat Malaysia dalam menghadapi polemik yang terbit dari perkara yang amat sensitif, iaitu hal yang menyangkut persoalan agama.
Meskipun penulis mengupas dari aspek undang-undang, penulis percaya penyelesaian yang ada bukan hanya melalui kaedah penguatkuasaan undang-undang semata-mata. Yang lebih utama ialah ialah perlunya wujud sesi perundingan dan dialog bagi mengendurkan ketegangan yang terbit dari isu-isu yang sensitif sebegini.
Islam adalah agama rahmat dan tidak memulakan permusuhan terhadap mana-mana agama. Harapnya apa jua tindak tanduk penganutnya adalah juga berpaksikan kepada intipati ajaran Islam itu sendiri.
________________________
Penulis ialah graduan undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pada masa ini beliau adalah Presiden kepada NGO Persatuan Jaringan Siswazah Malaysia (JASA).
Sumber HD - 6-1-2014
Najib sudah hilang segala-galanya, ubahlah
- Jan 06, 2014
- HARAKAHDAILY
“Jika kita mempunyai kepimpinan yang kuat dan dihormati isu ini tidak akan pernah timbul seperti yang kita semua alami sebelum ini,” tulis Aspan Alias di dalam blognya.
Baginya, isu ini hanya timbul apabila politik negara begitu lemah dan tidak ada tanda-tanda yang Perdana Menteri sendiri boleh menyelesaikannya.
Menurutnya, PM Najib seolah-olah tidak memahami atau mengakui yang isu ini adalah lebih besar dari isu ekonomi dan isu-isu lain jika benar-benar hendak melihat kita mendiami negara yang maju dan ternama.
“Isu ini jika tidak dapat diselesaikan ia boleh membawa kehancuran kepada fabrik politik negara kita yang kita sayangi ini, tetapi pimpinan kita tidak membuat apa-apa untuk menyelesaikannya mungkin kerana tidak nampak jalan untuk penyelesaiannya,” tulisnya lagi.
Menurutnya lagi, tetapi yang pastinya ia adalah kerana kelemahan dan ketidak adanya maya kepada barisan kepimpinan kerajaan hari ini.
Baca lagi
Sumber HD - 6-1-2014
Kalimah Allah: Umno patut demo di depan Seri Perdana
- Jan 06, 2014
- HARAKAHDAILY
Justeru, kepada Umno, khususnya Umno Selangor yang terlihat cuba menjadi hero dalam isu ini, beberapa NGO dan sesiapa saja yang mahu mempertahankan kalimah Allah ini dengan berdemonstrasi di mana-mana padang atau tanah lapang, mereka sepatutnya melakukannya di depan pejabat Perdana Menteri atau Seri Perdana kerana di situlah bersarang punca masalahnya.
“Jika tidak cukup, bolehlah juga berdemonstasi di depan pejabat KDN atau di depan rumah menterinya yang turut mempunyai saham dalam masalah yang berlaku ini,” tulis beliau di dalam blognya.
Baginya, tidak guna melalak,menjerit dan berdemonstasi di tempat-tempat lain atau menuding jari kepada pihak-pihak lain selagi ketegasan, kelemahan dan sikap dua wajah Najib dalam isu ini tidak diperbetulkan terlebih dahulu.
Baca di sini
Sumber HD -6-1-2014
“Himpunan haram” bantah paderi di Klang
- Jan 05, 2014
- HARAKAHDAILY
Timbalan Ketua Umno Bahagian Kapar Datuk Saroni Judi berkata perhimpunan itu diadakan kerana sekretariat yang terdiri daripada beberapa gabungan badan bukan kerajaan dan parti politik itu kesal dengan tindakan Paderi Lawrence yang masih enggan memohon maaf dan menarik balik kenyataannya.
"Kami akan menghantar satu surat bantahan terbuka kepada Lawrence hari ini untuk menyatakan kekesalan terhadap tindakannya yang tidak akur terhadap titah Sultan Selangor berhubung isu penggunaan kalimah Allah ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui, hari ini.
Turut hadir beberapa wakil NGO yang bernaung di bawah sekretariat itu termasuk Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Klang, Belia 4B cawangan Klang, Jati serta Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa).
Sekretariat itu pada awalnya merancang mengadakan perhimpunan di hadapan Church of Lady Lourdes di sini, tetapi menukar lokasi mereka ke Padang Sultan Sulaiman sebagai menghormati kebebasan beragama penganut Kristian.
Pada 27 Dis lepas, Lawrence menerusi portal berita 'The Malaysian Insider' berkata gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan Bahasa Malaysia walaupun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh bukan Islam.
Sementara itu, perhimpunan mingguan pertama untuk tahun ini bagi penganut Kristian di gereja St Anne's di Pelabuhan Klang di mana Lawrence adalah paderinya, berjalan lancar tanpa kejadian tidak diingini.
Lawrence yang kelihatan tenang ketika dan selepas menyampaikan khutbah dalam gereja mengucapkan terima kasih kepada polis yang sentiasa mengawasi keadaaan sekitar gereja itu. - Bernama
Sumber HD - 5-1-2014
Kelemahan Najib undang malapetaka buat negara
- Jan 04, 2014
- HARAKAHDAILY
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PASDr Dzulkefly Ahmad berkata, dua masalah kritikal yang sedang melanda negara- akan menjadi malapetaka jika Najib gagal menanganinya dengan segera- adalah kemelut kos saraan hidup (ekonomi) dan konflik atau pertentangan kaum-agama.
Menurutnya, bebanan hutang dan defisit fiskal selama 16 tahun berturut-turut menunjukkan dasar kerajaan BN dan terkini Najib tersasar dalam mengejar Pertumbuhan dengan kaedah 'mengepam' ekonomi dalam kitaran melembap (bearish) dan juga zaman cergas (bullish).
Akibatnya hutang persekutuan yang telah hampir mencapai had 55 peratus daripada KDNK negara , (RM543.3 bilion yang tepat sebagai laporan MOF ), meletakkan Malaysia diambang kebejatan pengurusan kewangan yang ditegur pelbagai pihak termasuk Bank Dunia dan agensi penarafan.
Lagi menampakkan kelemahan apabila Najib katanya, apabila menyalahkan hutang tersebut kepada pemberian subsidi RM46.7 bilion kepada rakyat.
Sedangkan kata Dzulkefly, antara penyebab utama kepada hutang itu adalah 'perbelanjaan boros' kerajaan, dasar monopoli, pemberian projek runding langsung yg menguntungkan kroni, serta ketirisan berbilion ringgit yang saban tahun berlaku seperti Laporan Ketua Audit Ngara.
"Ketahuilah Najib, bahawa statistik negara kebajikan seperti Nordic, Austria dan Belanda memperuntukkan sekurang-kurangnya 20% daripada KDNK mereka untuk subsidi.
"Lebih menarik lagi, subsidi yang besar ini telah menyebabkan kemiskinan berkurang, dan tidak pula menjadi penyebab bajet negara itu menjadi defisit," katanya.
"Jadi Najib salah dalam hujah 'rasionalisasi subsidi' diperlukan untuk mengelak negara dari menjadi bankrap'," kata beliau lagi.
Penarikan subsidi, tegas Ahli Jawatankuasa Pusat itu, pastinya akan membawa pelbagai kenaikan kos saraan hidup seperti yang telah pun diketahui dan ditakuti ramai.
Jurang kaum-agama
Menurut Dzulkefly lagi, pendirian longgar Timbalan Perdana Menteri terhadap cadangan wakil Umno dan beberapa NGO yang mahu mengadakan demonstrasi di hadapan gereja di Selangor esok adalah satu lagi kelemahan yang bakal mengundang 'malapetaka'.
"Ia menandakan permulaan tahun bermasalah (2014) di mana konflik agama semakin meruncing dalam masyarakat yang sudah pun terbelenggu dengan isu Kalimah Allah.
"Pandangan yang memecah-belahkan dan isu undang-undang emotif terhadap kalimah Allah telah mengundang pertikaian tanpa henti dan tiada usaha yang berkesan, apatah lagi penyelesaian oleh kerajaan," tegas beliau.
Lebih parah apabila Najib dilihat mengambil sikap berdiam diri kerana membisunya itu adalah sangat memekakkan rakyat.
"Seperti pepatah mengatakan "Tanpa kepimpinan bijak, negara jatuh, tetapi dengan penasihat yang baik ia boleh diselamatkan".
"Namun dalam dua keperluan kritikal ini, nampak seperti negara ini tidak punya kedua-dua sekali sedang negara berhajatkan kepada ketegasan dan wibawa kepimpinan untuk membawa negara keluar dari kemelut ini," ujarnya.
Kelemahan kepimpinan Najib dalam kemelut mutakhir ini, tegas beliau lagi, pastinya mengundang celaka kepada rakyat dan negara.
"Hal ini adalah sangat malang. Mungkin negara benar-benar memerlukan sebuah 'agenda rekonsiliasi', bukan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan tetapi bagi memacu reformasi dan penambahbaikan sebenar.
Sumber HD - 4-1-2014
Ketenteraman awam perlu diutamakan semua pihak
- Jan 04, 2014
- ABDUL HADI AWANG
PAS mengingatkan umat Islam supaya ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat adalah perlu menjadi keutamaan terutamanya dalam negara kita yang berbilang bangsa dan agama ini. Isu penggunaan kalimah Allah ini perlu disantuni dengan ilmu Islam, berdasarkan disiplin ilmu yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah dan bukannya menerusi kekerasan apatah lagi menggunakan undang-undang yang dipaksakan semata-mata. Pendekatan berhujah dengan ilmu perlu lebih diutamakan dalam memberikan kefahaman kepada anggota masyarakat, terutamanya kepada masyarakat yang bukan beragama Islam. Di sinilah tugas kita untuk menunjukkan contoh teladan bahawa Islam adalah pembawa Rahmat ke seluruh alam, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT.
PAS akan terus melaksanakan dakwah dan politik Islam dengan berdasarkan kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ahli-ahli dan penyokong PAS di seluruh negara, serta rakyat keseluruhannya perlulah senantiasa diingatkan agar bertenang dan tidak terpengaruh dengan tindakan provokatif pihak-pihak tertentu.
PAS juga merasa sangat dukacita sekiranya isu ini diperhangatkan sehingga rakyat lupa kepada masalah keperitan hidup angkara kenaikan harga barang pada tahun 2014 ini.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
Sumber HD - 4-1-2014
No comments:
Post a Comment