- Jan 09, 2014
- DR AZMAN IBRAHIM
Kalau kereta accident, kemek sana-sini, maka nak baik pulih dia, kena ketuk body kuat-kuat. Kalau setakat gosok dengan kertas tisu, habis seratus kotak tisu pun tak ke mana. Ketika ini, ketuk itulah dikira cara yang paling berhikmah untuk nak baiki kereta tu.
Kalau satu anggota badan contohnya kaki pesakit diabetis dah buruk serta sel-selnya sudah mati, tidak berfungsi lagi, menyimpannya akan merbahayakan nyawa tuannya, maka ketika itu keputusannya adalah perlu dipotong. Setakat kita sapu dengan losyen, ianya tidak bermakna lagi. Ketika ini, potong adalah cara yang paling berhikmah untuk mengubati masalah ini.
Seorang anak yang telah berusia 11 tahun, telah pelbagai cara nasihat dan suruhan dengan cara yang baik dilakukan supaya dia sembahyang tetapi tetap tak berjaya. Maka ketika itu Islam mengizinkan supaya dia dipukul. Maka ketika itu, pukul adalah cara yang paling berhikmah untuk mendidiknya.
Kalau ada orang yang susah nak makan nasihat, macam-macam cara tetap tak berkesan tetapi bila sekali kita kata “Kamu ni bodoh!” menyebabkan dia mula berfikir, ketika ungkapan “kamu ni bodoh!” adalah cara yang berhikmah.
Kalau sekiranya jalan dakwah Islam ini dihalang dengan kekerasan dan kekuatan, untuk membersihkannya kita perlu mengangkat senjata untuk menentang musuh, maka ketika itu mengangkat senjata adalah cara yang paling berhikmah.
Kalau sekiranya masyarakat seperti orang asli, mereka perlu diberikan hadiah dan dijamu dengan makanan, barulah mereka bersedia untuk mendengar dakwah kita, maka ketika itu, memberi hadiah dan mengadakan jamuan adalah cara yang berhikmah.
Kalau sekiranya pemerintah yang sudah ditegur dan dinasihati, tiada perubahan dan penambahbaikan dilakukan malah keadaan semakin hari semakin parah, mereka perlu diturunkan. Ketika itu tindakan menurunkan mereka dari puncak kuasa adalah cara yang berhikmah.
Kalau seseorang baling kita dengan tahi, kita balas baling balik dia dengan bunga tetapi balingan bunga kita tidak membawa sebarang erti dan makna, maka baling dengan bunga bukanlah cara yang berhikmah. Orang ini hanya akan berfikir apabila dia juga kena tahi, maka ketika itu balingan dengan tahi adalah cara yang berhikmah.
Saya reka senario-senario di atas untuk menerangkan salah faham yang sering berlaku berkaitan dengan kalimah ‘hikmah’. Ramai orang ingat hikmah itu bererti lemah lembut, kena belai, kena gosok, kena bagi bunga, tak boleh balas kejahatan orang kepada kita, kena pujuk dan pelbagai lagi.
Semua salah faham ini banyak saya perhatikan dalam komen-komen fb sebelum ini. Hikmah bermakna apakah cara dan kaedah yang paling balik dan berkesan pada waktu itu, ketika itu dan untuk yang dituju itu.
Sumber HD - 9-1-2014
- Jan 08, 2014
- DR AZMAN IBRAHIM
Dari aspek kebajikan, saya bersetuju dengan luahan Yang Dipertua Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Terengganu, Osman Mamat berhubung isu kenaikan barang keperluan harian dan makanan yang kini hangat diperkatakan.
Osman sebagaimana dipetik dari sebuah akhbar harian menegaskan, orang ramai tidak wajar menghukum peniaga semata-mata kerana mereka mendapat bahan mentah daripada pembekal dan menjualnya pada harga sesuai dengan modal yang dikeluarkan.
Apabila Yang Dipertua bercakap bagi pihak Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Terengganu, maka kita memahami bahawa beliau cuma meluahkan hakikat sebenar kehidupan rakyat biasa yang mencari rezeki ‘samah seriyal’ sebagai peniaga dan penjaja kecil bagi menanggung keluarga.
Selalunya peniaga kecil seperti mereka akan tersepit seperti mentimun di dalam sandwich. Sebelum sesuatu barangan seperti sayuran atau buah-buahan sampai ke tangan mereka untuk dipasarkan, hakikatnya barangan tersebut telah melalui 2 atau 3 lapis pembekal dengan setiap lapisan akan mengaut beberapa peratus keuntungan. Akhirnya mereka memiliki barangan untuk dipasarkan dengan harga yang telah sedia tinggi.
Di pasar, sebagaimana biasa seorang pengguna tentunya inginkan barangan dengan harga yang paling murah kerana mereka juga tersepit dengan peningkatan kos hidup. Adat berniaga, apabila menjual pastinya sedikit keuntungan dicari. Belum lagi dikira risiko barangan yang dibeli tak habis dijual, akhirnya rosak dan terpaksa dibuang begitu sahaja.
Pengerusi Lujnah Kebajikan Pas Terengganu ini menulis berdasarkan pengalaman lantaran saya juga adalah seorang anak peniaga kecil. Awal-awal pagi ke pasar borong untuk mendapatkan bekalan barangan, kemudian terus ke pekan sehari untuk memulakan perniagaan, balik ke rumah menjelang tengah hari.
Kadang-kadang kalau sayur-sayuran banyak yang tak habis, terpaksa dijaja ke sana-ke mari. Sayuran pula bukanlah boleh tahan lama, sehari dua kalau tak berjaya dihabiskan, akhirnya ia terpaksa dibuang atau dijadikan santapan lembu dan kambing. Akhirnya untung yang tak seberapa terpaksa dikongsi dengan tong sampah atau lembu dan kambing.
Sebab itulah saya bagi pihak Lujnah Kebajikan PAS Terengganu sangat-sangat bersimpati dengan luahan Yang Dipertua Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Terengganu ini. Dalam masa yang sama, simpati kita juga kepada pengguna yang turut menjadi mangsa.
Tetapi malangnya kerana kita memiliki pemimpin yang suka dengan ungkapan-ungkapan bodoh seperti:
“Bila minyak naik, orang kampung tak perlu risau sebab mereka cuma pakai Honda Cup.”
“Tol naik, orang kampung tak guna lebuhraya bertol.”
“Lektrik naik, orang kampung yang guna lektrik tak sampai RM70 sebulan tak akan terlibat.”
“Mana ada negara yang semakin maju, harga barangan tak naik?”
Cuba kita renungkan fenomena sebuah keluarga dengan 3 orang anak lelaki di sekolah rendah, setiap pagi akan dibekalkan dengan nasi bungkus RM3 sebungkus ditambah dengan duit belanja RM2 seorang.
Saya berfikir dari hati kecil orang kampung dengan pendapatan yang tak menentu. 'Belum cerah tanah lagi’ RM15 perlu disediakan setiap hari. Semasa cuti SPM dulu, saya pernah cuba sekejap kerja buat rumah batu. Gajinya RM16 sehari. Merenung hakikat ini, saya rasa sebak.
Perhatikan juga senario seorang ketua keluarga yang berpendapatan rendah atau sederhana, mereka perlu mengambil kira paling minima setiap bulan keperluan wajib antaranya, bayaran sewa atau ansuran bulanan rumah kediaman, peruntukan ansuran kenderaan, duit minyak dan servis kenderaan, belanja keperluan dapur serta makan minum, duit perbelanjaan sekolah anak-anak, bil elektrik dan air juga gas memasak, pakaian, kos perubatan dan kesihatan, bayaran tol untuk mereka yang berkenaan, saman trafik dan pelbagai lagi yang tentunya memberikan tekanan emosi yang mampu menggugat keharmonian kehidupan. Apatah lagi kalau hidup di bandar dengan setiap keperluan perlu dibeli.
Situasi yang sangat biasa berlaku sekarang lantaran disebabkan desakan hidup, bagaimana seorang bapa terpaksa keluar meninggalkan rumah diawal pagi untuk mencari rezeki ketika anak-anak belum lagi terjaga dari tidur dan pulangnya pula menjelang lewat malam apabila anak-anak telah lena dibuai mimpi.
Ketiadaan masa berkualiti bersama keluarga akan melahirkan anak-anak yang terabai, ketandusan kasih sayang, rapuhnya institusi keluarga sehingga akhirnya mewujudkan generasi anak-anak yang sarat dengan gejala sosial. Apatah lagi untuk meluangkan masa dengan masyarakat dan persekitaran.
Tekanan hidup yang dibantu oleh faktor nipisnya iman di dada juga boleh mengundang pecah amanah, penyelewengan, rasuah dan pelbagai lagi perlakuan yang menyalahi syariat dan undang-undang.
Bermakna, peningkatan kos sara hidup disebabkan kenaikan harga barangan, jangan sesekali hanya dipandang dari sudut berapa sen kenaikan harga gula, petrol, gas memasak, minyak masak, tarif elektrik dan sebagainya, tetapi impaknya perlu diteliti secara menyeluruh dan saksama kepada kehidupan seorang insan sebagai individu, keluarga, masyarakat dan negara. Inilah dia antara aspek kebajikan yang diteliti oleh Islam. Bukan kebajikan dengan makna welfare mengikut istilah barat.
Di negara maju yang lain, bila ekonomi negara bermasalah, kerajaan akan potong perbelanjaan yang tak diperlukan, bukannya menjadikan rakyat sebagai mangsa. Kita yang belum maju tetapi bercita-cita untuk maju pula sebaliknya, bila negara tak ada duit, rakyat yang ditekan dengan pelbagai alasan lapuk sedangkan pemimpin bermewahan. Rakyat pula dikelirukan dengan tiada lagi istilah kenaikan harga barangan itu dan ini, yang ada hanyalah pelarasan subsidi!
Penulis adalah Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Terengganu.
Sumber HD - 8-1-2014
- Jan 01, 2014
- DR AZMAN IBRAHIM
Memulakan program tahun baru 2014 dengan menziarahi Bendahari PAS Jabi di dalam Wad Hospital Besut. Beliau disyaki mengidap paru-paru berair. Sebaik sahaja selesai menghantar 3 orang anak lelaki ke Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3, kira-kira jam 6:30 pagi tadi bagi memulakan hari pertama sesi persekolahan 2014, saya terus ke Hospital Besut.
Lebih kurang jam 7:40 pagi saya tiba di perkarangan hospital yang pernah menjadi tempat menabur bakti sekitar awal tahun 2001 lalu. Ramai juga sebenarnya warga Besut yang ‘kehilangan gigi’ angkara saya dalam tempoh saya bertugas di sini.
Kini dah hampir 13 tahun berlalu, hanya tinggal angka yang boleh dibilang jari sahaja warga, kakitangan Hospital Besut yang saya kenali dan mengenali saya. Bila kita sampai ke Hospital berselipar Jepun, tak ada orang yang kenal kita.
7:40 pagi bukan waktu lawatan. Saya memohon keizinan dari pengawal keselamatan untuk masuk seketika sekadar 5 minit bagi menjenguk sahabat di dalam wad. “Masuklah… jangan lama-lama sangat sebab pagi-pagi ni time sibuk.” Ujar pengawal yang berumur hampir sebaya dengan saya itu.
Biasalah bila dah jumpa sahabat, 5 minit mana cukup. Tambahan pula banyak perancangan kewangan Dun yang perlu dibincangkan. Sahabat Bendahari Dun pula cukup bersemangat walaupun dalam keadaan tak berapa sihat.
Sedar-sedar dah setengah jam masa berlalu dan saya mohon diri untuk pergi.
Di pintu wad, pengawal keselamatan tadi tersengih melihat saya.
Saya (S): Minta maaf Abe, lama sikit. Lebih dari 5 minit hok mintak kebenaran tadi.
Pengawal (P): Tak apa… Saya tak dok masalah. Abe pun bukannya mari nak buat demonstrasi, nak buat rusuhan dalam wad. Kalau Abe buat rusuhan, memang saya perambat keluar!
S: Aik! Bakpo pulok tubik cerita demonstrasi, cerita rusuhan ni?
P: Saya memang dok setuju, marah sangat dengan orang hok suka buat kacau, buat rusuhan, ganggu ketenteraman. Kalau nak tukar kerajaan, tukarlah molek-molek!
S: Sapo pulok ni hok buat rusuhan, buat kacau, ganggu ketenteraman? Saya dok faham ni…
P: Tu… di Kuala Lumpur semalam, ada rusuhan. Saya tengok dalam TV pagi tadi. Habis susah orang ramai. Dulu orang bagi perintah negeri sepenggal dok dang apa-apa lagi jatuh doh. Loni duk buat kacau. Kalau nak tukar kerajaan, tukarlah molek-molek. Jangan duk buat kacau!
S: Ooo… hok semalam tu… TV royat berapa orang mati? Saya dok tengok TV lagi pagi ni.
P: Tak dok orang mati…
S: Ada bangunan, pejabat, kedai hok terbakar?
P: Tak dok napok jugok…
S: Ada polis hok cedera?
P: Berita tu dok royat pulok ada polis cedera…
S: Ada kereta terbalik, kena bakar?
P: Dok jugok…
S: Ada kedai, gudang, pasaraya kena rompak?
P: Kita dok tahu sampai setara tuu…
S: Jadi hok Abe kata rusuhan, ganggu keamanan, kacau ketenteraman tu lagu mana pulok? Saya doh faham lagi ni…
P: Dok tahulah… ambo pun pening ni!
Rakan dialog saya ini seorang pengawal keselamatan hospital. Itu level tahap kefahaman dia. Mungkin tahap kefahaman beliau mewakili tahap kefahaman ramai lagi orang lain di luar sana termasuk yang memiliki taraf pendidikan lebih tinggi.
Saya yakin kalau saya sempat bertemu dengan ramai lagi staf Hospital Besut, saya akan dapati mereka yang berjawatan level pegawai pun akan bercakap dengan nada yang sama.
Dalam sistem demokrasi, undi kita yang faham dengan undi mereka yang tak berapa faham, sama-sama satu undi. Tak ada beza. Kita meyakini bahawa bilangan yang berfahaman sebegini masih sangat ramai terutamanya dari kalangan Melayu luar bandar. Mereka inilah simpanan tetap Umno. Maaf… di mana ramai orang close minded, di situlah Umno kuat. Dengan bermodalkan manipulasi maklumat dan fakta, mereka menipu orang ramai.
Orang ramai bila tengok tajuk muka depan sebuah akhbar harian pagi ni ‘Parang, pisau antara senjata ditemui’… Di satu kedai kopi di Bandar Jerteh yang saya singgah untuk sarapan, ramai orang pakat-pakat maki hamun PAS!
Saya perhatikan wajah-wajah yang bermulut huduh tu, sorang pun tak ada yang nampak jernih air muka. Semayang subuh atau tidak puak-puak ni?
Saya banyak meneliti sejarah
ﺇﻧﻘﻼﺏ atau rampasan kuasa yang berlaku di pelbagai negara.
Revolusi Demi Revolusi di Iraq antara bab khusus dalam Buku 'Travelog di Lembah Sungai Dajlah dan Furat' di mana saya catatkan di dalamnya sejarah siri-siri penggulingan dan rampasan kuasa yang berlaku semenjak dari kejatuhan pemerintahan Keluarga Diraja Iraq hinggalah Saddam Hussein menjadi Presiden.
Tiada satu pun penggulingan tersebut hanya bersenjatakan 3, 4 bilah parang dan pisau! Nak kelentong pun biarlah munasabah sikit bro!
Sumber HD - 1-1-2014
- Dec 24, 2013
- Dr Azman Ibrahim
Saya tak mengenali Mak Cik Yam, seorang wanita kurang upaya, peniaga sayur kecil-kecilan yang menjadi mangsa samun di Felda Tenang, Besut.
Dibelasah dengan kejam oleh penyamun pada 14 Disember lalu, bertarung nyawa di Hospital Kota Bharu, akhirnya lebih kurang jam 3 pagi tadi, Mak Cik Yam telah pergi kembali kepada Penciptanya.
Berita tragedi yang menimpanya saya baca dengan penuh simpati sambil mengirim sedikit sumbangan melalui sahabat PAS Besut yang menziarahinya di hospital.
Pagi ini apabila melihat gambar beliau ketika masih sihat sedang menjual sayur di pasar sehari yang dipaparkan di laman sosial seorang rakan dari Besut, tanpa dipinta air mata saya mengalir laju. Serta merta dada terasa sebak dan terharu.
Gambar seorang ibu yang sedang duduk menjual sayur sangat mendalam ertinya bagi saya kerana ibuku juga seorang peniaga sayur di pasar sehari seperti juga Mak Cik Yam.
Wanita tua yang tak berdaya sepertinya diperlakukan sebegitu. Benarlah kata-kata bahawa, di dalam kelompok haiwan tiada manusia, tetapi dalam spesis manusia ada binatang!
Dari segi logik akal seorang penyamun (kalaulah penyamun itu berakal), adalah munasabah beliau diperlakukan sebegini kalau Mak Cik Yam seorang kontraktor besar. Ada ratusan ribu pitih disimpan di dalam peti besi rumahnya.
Tetapi seorang peniaga sayu kecil-kecilan, kurang upaya pula, harta apa yang Mak Cik Yam ada? Saya tahulah memang tak kaya sebab saya pun anak penanam dan penjual sayur!
Jadi apa yang penyamun ini cari sebenarnya sehingga tergamak membunuh?
Apakah kita sebagai ahli masyarakat memerlukan manusia yang tak bertamaddun dan mempunyai naluri jahat sebegini terus bersama kita dalam masyarakat?
Zalimkah suatu undang-undang itu kalau perbuatan jahat sebegini diancam dengan suatu bentuk hukuman yang sangat keras sebagai pencegahan?
Atau penjenayah sebegini perlu dikasihani, diberikan kerja supaya mereka mempunyai sumber pendapatan sebab sebenarnya mereka melakukan jenayah kerana desakan hidup?
Perompak dan penyamun lebih mengancam manusia dari pencuri. Sebab itu dalam Islam, kalau pencuri yang cukup syarat pelaksanaan hukumannya dipotong tangan, seorang perompak dipotong tangan dan kaki secara bersilang. Kalau dia merompak dan membunuh, maka dia juga perlu dijatuhkan hukuman bunuh.
Kalau Mak Cik Yam yang diperlakukan sebegitu adalah mak kita, ada tak kita sebagai anak yang akan berkata, hukuman sebegitu terhadap perompak tersebut adalah tidak berperikemanusian dan tidak bertamaddun?
Kalau undang-undang Islam ini dikatakan tidak berperikemanusian, apakah perlakuan perompak kepada Mak Cik Yam itu berperikemanusian?
Dalam Islam, ada perkara yang dikira kemestian, tiada tolak ansur dan ianya wajib dipertahankan. Agama, akal, nyawa, harta, keturunan dan maruah. Islam datang untuk melindungi kepentingan dan keperluan ini.
Kalau ada manusia yang hidupnya dalam masyarakat mengancam agama, nyawa, akal, keturunan, harta dan maruah orang lain maka Islam hadir sebagai penyelamat.
Manusia yang merbahaya sebegini perlu disedarkan dengan hukuman keras. Hukuman keras ini bukan nak hukum orang baik seperti Mak Cik Yam!
Semoga Mak Cim Yam damai di sana dan ditempatkan di syurga.
Sumber HD - 24-12-2013
- Dec 02, 2013
- Dr Azman Ibrahim
Saya mengenali secara dekat Che Salmi, pengasas Pasaraya Sabasun yang mesra dikenali sebagai Abang Long sekitar akhir tahun 2011 semasa mula memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Lujnah Pengguna PAS Terengganu.
Antara program awal anjuran Lujnah yang telah diadakan adalah Forum Kepenggunaan. Selain daripada YB Datuk Mahfuz Omar, Pengerusi Lujnah Pengguna PAS Pusat, Che Salmi juga adalah salah seorang ahli panel forum tersebut yang telah dipengerusikan oleh Saudara Zulkifli Sulong, mantan Ketua Editor Harakahdaily.
Mengenalinya sebagai seorang yang ‘simple’, senang diajak berbicara, merendah diri tetapi tegas dan serius dalam memberikan pendapat.
Sebelum bersua dengannya buat pertama kali, saya telah mendengar tentang peribadinya sebagai seorang dermawan yang banyak menyumbang untuk pelbagai bentuk aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan.
Sepatah beliau menceritakan diawal perbualan kami bahawa aktiviti perniagaan telah menjadi minatnya semenjak ketika menuntut di Amerika Syarikat lagi.
Ada saya bertanya, “dari mana timbulnya nama SABASUN?”
Jawabnya, “SABASUN berasal dari perkataan SABAR SUNGGUH.”
Mengambarkan bagaimana retetan perjalanan beliau sebagai antara anak Melayu Islam di Terengganu secara khususnya dan di Malaysia amnya yang mula menceburi industri perniagaan runcit bermula dari kecil-kecilan dengan segala kepayahan dan penuh kesabaran sehingga akhirnya berkembang dan menjadi antara pasaraya tumpuan pelanggan sekitar Kuala Terengganu.
Kewujudan Pasaraya SABASUN ini memberikan peluang kepada ramai pengusaha IKS dari kalangan Melayu Islam untuk memasarkan barangan keluaran mereka yang tidak mendapat tempat di pasaraya besar milik bukan bumiputera.
Ketika berforum bersamanya yang bertemakan ‘Barang Naik Harga, Rakyat Tanggung Bahana’, saya menyimpan beberapa bait ungkapan yang dilontarkannya dan kekal diingati sehingga sekarang. Antaranya:
“Apabila harga barang naik, air mata rakyat akan jatuh…”
“Pihak berkuasa di KPDNKK melarang para pengusaha pasaraya mengeluarkan apa-apa kenyataan kepada umum setiap kali berlakunya kenaikan harga barangan…”
“Kuota bekalan minyak masak yang diagihkan kepada peniaga hakikatnya telah tidak diperbaharui semenjak beberapa tahun yang lalu…”
“Setiap kali pihak PDRM membuat tawaran diskaun pembayaran saman trafik atau operasi besar-besaran bagi memburu pemandu yang mempunyai saman tertunggak, pasaraya akan menjadi lengang disebabkan orang ramai memperuntukkan wang yang ada bagi menjelaskan saman…”
“Ketika dunia menghadapi krisis makanan, ketika itu sesiapa yang mempunyai bekalan makanan, maka dialah yang paling kaya. Lebih kaya dari orang yang memiliki seketul emas…”
Ketika ditubuhkan NGO R bagi memperjuangkan supaya dikembalikan semula royalti minyak milik rakyat Terengganu, Che Salmi adalah salah seorang penggiatnya yang aktif.
Lagu ‘Pulangkan’ yang menjadi lagu tema NGO R Terengganu pernah saya nyanyikan bersamanya ketika menyampaikan ceramah anjuran NGO R di Pasar Cabang Tiga, Kuala Terengganu.
Rupanya beliau juga seorang ahli muzik yang berbakat besar.
Ini hanyalah secebis coretan tentang seorang hamba Allah yang telah dinafikan haknya sebagai orang Melayu, Islam dan rakyat dalam sebuah negeri berdaulat Terengganu.
SABASUN yang diasaskannya dengan penuh SABAR dan KESUNGGUHAN akhirnya akan menjadi korban kerakusan mereka yang berkuasa. Kenapa semua ini harus berlaku? Sebidang tanah yang sedang berdiri di atasnya satu premis perniagaan milik seorang Melayu Islam nak diambil untuk diberikan kepada orang asing, khabarnya Syarikat Jaya Jusco?
Sudah tak ada lagikah tanah lain untuk diambil bagi didirikan pasaraya baru yang pemiliknya adalah orang asing tersebut? Atau ada dengki dan dendam kesumat yang perlu dilunaskan bagi memuaskan hati orang-orang tertentu?
Apakah kerana Che Salmi adalah seorang Melayu Islam yang tidak menjadi ahli Umno? Lantas tak ada apa-apa komisyen yang Umno boleh dapat daripada perniagaan beliau!
Sumber HD - 2-12-2013
- Nov 26, 2013
- DR AZMAN IBRAHIM
Saya catatkan di sini antara perkara yang paling menyentuh hati berlaku pada hari Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium Malawati, Shah Alam baru-baru ini dan saya kreditkan tulisan ini kepada sahabat baik saya Saudara Jefri Chua, Timbalan Pengerusi DHPP Terengganu.
Saya mengenali Jefri Chua sebagai seorang kawan dan sahabat. Selalu apabila ada kesempatan bertemu, kami selalu duduk berbincang, berkongsi pendapat dalam banyak hal, walau tak selalunya pendapat kami selari tetapi beliau mempunyai sikap menghormati pendapat orang lain dan bersedia untuk berbincang.
Di Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini, beliau dengan mesra datang ke tempat duduk perwakilan PAS Setiu, mengambil tempat di sebelah saya dan sambil mengikuti perbahasan dari perwakilan, sebagaimana biasa sikap ramahnya dengan tak pernah surut, beliau berceloteh memberikan pendapat tentang perkara itu ini juga bertanya tentang itu ini...
Ditunjukkan kepada saya gambar beliau memegang sebuah buku tulisan Datuk Ismail Kamus bertajuk ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ yang sedang dibacanya. Saya hanya memberikan komentar ringkas, “buku ini sebuah buku yang baik untuk dibaca, isinya mudah difahami...”
Tanpa diduga, saya terkedu serta mengalirkan air mata, bila beliau bertanya soalan yang tak dijangka, "Apa yang you rasa bila suatu hari nanti saya menjadi seorang Islam?"
Jawab saya, "Sayalah antara manusia yang paling gembira ketika itu dan paling awal mengucapkan tahniah!"
Beliau menyambung lagi, "Sebenarnya saya sedang berfikir ke arah itu, tetapi berikan saya sedikit masa kerana saya juga mempunyai isteri dan anak-anak. Kalau saya seorang diri sahaja, mudah..."
Kata beliau lagi, "kalau dihitung purata umur rakyat Malaysia, saya masih mempunyai masa sekitar 20 tahun lagi untuk membuat kebaikan..." ujarnya penuh bermakna.
Saya mengenali Jefri yang saya panggil Jeff sebagai seorang yang berprinsip, komitmen dalam melakukan kerja, sanggup menongkah arus dalam mengambil tindakan.
Mungkin beliau satu-satunya teman berbangsa Tionghua yang belum Islam tetapi sanggup mop lantai Masjid Pengadang Baru. Selalu mengikuti kuliah pagi Jumaat Tuan Guru Presiden di Masjid Rusila.
Kelibatnya tak sukar untuk ditemui walaupun dalam program-program parti yang berbentuk keislaman.
Peranannya dalam meraih sokongan pengundi Tionghua kepada Pakatan Rakyat dalam PRU13 baru-baru ini tak siapa yang mampu menafikannya. Caranya dan pemikirannya agak kreatif.
Beliau menunjukkan kepada saya gambar beberapa orang perwakilan muktamar yang sedang mendirikan solat di atas lantai di satu sudut Stadium Malawati ketika rehat sesi muktamar.
Saya tanya, “Apa yang Jeff nak buat dengan gambar ini?”
Jawabnya, “Saya nak post dalam fb, nak tunjuk kepada kawan-kawan fb saya yang berbangsa Cina bahawa Islam ini sangat mudah, solatnya boleh didirikan di mana-mana sahaja...”
Sekali lagi mata saya berkaca dengan air mata yang bergenang.
Jeff sahabatku... saya menunggu untuk memeluk tubuhmu sebagai seorang saudara Islam sambil mengucapkan tahniah nanti! Saya berkeyakinan bahawa ianya tersangat hampir!
Sumber HD - 26-11-2013
Dr Azman Ibrahim , | 27 Okt 2013 |
Diabetes atau kencing manis mungkin merupakan nama penyakit yang paling glamour di Malaysia sekarang. Dari pemimpin tertinggi negara hingga kedai kopi di kampung-kampung, topik kencing manis menjadi perbualan.
Ulasannya dalam pelbagai rupa dan bentuk tetapi umum mengaitkannya dengan gula lantas kenaikan harga gula yang diumumkan dalam Bajet 2014 dianggap rahmat dan langkah yang sangat tepat untuk gaya hidup yang sihat. Malah ada menteri yang mengatakan, tanpa gula umur kita akan menjadi lebih panjang dan tenaga kelelakian akan meningkat!
Semenjak dua hari lepas, saya memerhatikan ulasan-ulasan yang dibuat dengan pelbagai nada dan irama termasuklah ada yang mengaitkannya dengan hamba Allah yang telah kembali ke Rahmatullah.
Saya sangat berharap agar tampil di kaca TV atau di dada akhbar mereka yang berkelayakan di Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menghuraikan kekeliruan yang sedang tersebar tetapi malangnya tiada yang tampil. Kekeliruan fakta di kalangan masyarakat umum ini terbiar begitu sahaja dengan membiarkan mereka yang tak berkeahlian terus membebel.
Saya bukannya pakar dalam bidang diabetes tetapi subjek General Medicine (Perubatan Am) antara subjek wajib yang diambil semasa pengajian dulu. Antara yang dipelajari adalah berkenaan penyakit yang sedang heboh sekarang ini.
Izinkan saya membuat sedikit huraian sambil berharap ada yang lebih pakar akan memberikan penjelasan lanjut.
Diabetes atau kencing manis dibahagikan kepada 2 kategori (2 type) iaitu type 1 dan type 2.
Diabetes Type 1
Diabetes Type 1 berlaku apabila badan manusia tidak lagi dapat memproses penghasilan insulin kerana sistem imune badan sendiri telah menyerang dan memusnahkan sel-sel di mana insulin dihasilkan.
Punca kenapa hal ini berlaku tidak diketahui dengan jelas, tetapi ia mungkin termasuk faktor-faktor genetik dan faktor persekitaran.
Terdapat satu teori yang menyatakan bahawa diabetes type 1 boleh berlaku selepas serangan virus tertentu.
Orang yang mempunyai diabetes type 1 mesti mengambil insulin setiap hari untuk kelangsungan hidup.
Tiada cara yang diketahui untuk mencegah atau mengubati diabetes type 1, tetapi ia boleh dikawal dengan mengekalkan tahap glukosa (gula) darah dalam julat yang normal.
Diabetes Type 2
Diabetes type 2 adalah yang paling biasa berlaku.
Bagi diabetes type 2, puncanya adalah sama ada badan tidak mampu memproses pengeluaran insulin dengan jumlah yang mencukupi atau badan tidak boleh menggunakan insulin yang dihasilkan sendiri dengan kadar yang sepatutnya.
Risiko untuk mengidap diabetes type 2 ini meningkat dengan meningkatnya usia seseorang.
Punca diabetes type 2 ini sebahagian besarnya masih tidak diketahui, tetapi genetik dan gaya hidup yang memainkan peranan utama sebagai penyebab.
Diabetes type 2 dikaitkan dengan masalah obesiti , faktor-faktor genetik serta gaya hidup yang tidak aktif.
Sesetengah kaum dan etnik yang berisiko tinggi untuk mengidap diabetes type 2 termasuklah kita orang Asia.
Tidak ada cara yang diketahui dengan tepat untuk mengubati diabetes jenis 2, tetapi ia boleh dikawal dengan menjaga tahap glukosa (gula) dalam darah dalam julat yang normal
Harapan saya, sebelum sesiapa sahaja dari kita bercakap dengan membuat kesimpulan mudah, eloklah dan lebih manis bagi kita untuk meneliti sedikit fakta-fakta mudah supaya ulasan kita tidak tersasar serta kita akan kelihatan cerdik.
Penulis ialah Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Terengganu.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
KUALA LUMPUR: Rakyat wajib dihargai untuk mereka membina kehidupan di atas sebidang tanah milik sendiri yang pernah mereka miliki dan usahakan tapi akhirnya dirampas, kata Pengerusi Lujnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Terengganu, Dr Azman Ibrahim
(gambar).
Beliau menyatakan demikian merujuk kepada kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman yang menyatakan kawasan tanah bencah di Setiu yang dikenali sebagai Setiu Wetlands kini dalam proses untuk diwartakan sebagai Taman Negeri dalam usaha memulihara ekosistem serta biodiversiti alam semula jadi.
Berhubung perkara itu, ujar beliau pihaknya melihat ia sebagai suatu langkah yang baik serta penghargaan kepada alam sekitar.
Apatah lagi, ujarnya telah sedia termaktub di dalam 'Rancangan Tempatan Daerah Setiu' (Setiu Local Plan) tahun 2003 - 2015, kerajaan negeri Terengganu telah menetapkan bahawa kawasan tanah lembah adalah kawasan sensitif alam sekitar atau Environmentally Sensitive Area (ESA) dan Setiu Local Plan telah menetapkan di mana hanya aktiviti rekreasi yang dibenarkan untuk dilakukan di kawasan terbabit.
“Yang menjadi keraguan kami, sejauh mana keseriusan pihak kerajaan dalam melaksanakan pelan perancangan mereka sendiri kerana sebenarnya belum apa-apa lagi, pelanggarannya telah berlaku apabila ribuan ekar tanah yang meliputi kawasan Setiu Wetlands di Kampung Nyatoh, Permaisuri milik Tabung Amanah Warisan telah dipajak oleh kerajaan negeri Terengganu kepada Syarikat Blue Archipelago Berhad untuk perlaksanaan projek Taman Akuakultur Udang Bersepadu (i-Sharp),” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pembinaan prasarana projek bernilai ratusan juta ringgit ini telah menggugat ekosistem sebahagian besar dari kawasan tanah becah itu yang kononnya hendak diwartakan sebagai Taman Negeri.
Beliau berkata, kesan jangka pendek dan jangka panjangnya tentu sahaja bukan lagi hanya setakat kepada biodiversiti alam semulajadi, tetapi juga kepada kemanusian penduduk sekitar.
Soalnya, kata beliau siapakah yang begitu hebat berkuasa sehingga boleh mengenepikan ketetapan yang telah dibuat oleh kerajaan mereka sendiri.
Tambahnya, projek penternakan udang bersaiz mega, tentunya bukan satu projek rekreasi sebagaimana yang dibenarkan dan tercatat dalam Setiu Local Plan.
“Keraguan kami dengan kenyataan YB Exco terbabit bukan hanya serkap jarang tetapi terbukti dari apa yang telah berlaku, cakapnya kelihatan tak serupa bikin,” katanya lagi.
Apa yang lebih penting juga, ujar beliau di samping alam sekitar mempunyai hak untuk dijaga dan dipelihara, rakyat yang telah dirampas tanah mereka, tentunya lebih berhak dikembalikan semula semua tanah yang diceroboh dan dirampas sama ada di Setiu atau di mana-mana sahaja.
Baginya, mewartakan Setiu Wetland adalah penghargaan kepada alam sekitar, namun pada masa yang sama rakyat juga wajib dihargai untuk mereka membina kehidupan di atas sebidang tanah milik sendiri yang pernah mereka miliki dan usahakan tetapi akhirnya dirampas.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
Sumber HD - 17-9-2013
KUALA LUMPUR: “Bila ditanya, kenapa tukar tanda harga baru? Jawab mereka kerana ada kenaikan harga. Oh! Begitu cepat dan mendadak sekali,” kata Dr Azman Ibrahim
(gambar).
Pengerusi Lujnah Pengguna PAS Terengganu itu berkata, untuk mendapatkan kepastian, hari Jumaat 6 September semalam, beliau ke pasaraya yang dimaksudkan tersebut dan mendapati bahawa memang benar terdapat kenaikan harga barangan dan sungutan pelanggan boleh didengar dengan jelas.
“Apa mekanisma aduan yang diguna pakai kementerian dan menteri ini sehingga begitu mudah beliau membuat kesimpulan, tiada aduan kenaikan harga barang ekoran kenaikan harga minyak?” tanya beliau sebagai respons kepada kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Kenyataan beliau seperti di bawah.
"Tidak banyak aduan tentang kenaikan harga barang, contohnya di Wilayah Persekutuan, hanya 3 aduan yang kita terima," kata Menteri KPDNKK.
Saya sangat sangsi dengan ketepatan kenyataan menteri KPDNKK ini yang pernah mencadangkan, kalau harga ayam mahal, maka jangan makan ayam.
Buktinya, pada pagi khamis, 5 September kira-kira 2 hari lepas, seorang pengadu yang membeli belah di sebuah pasaraya di bandar Kubang Kerian mengadu sambil memberikan maklumat kepada saya bahawa berdasarkan pemerhatiannya didapati di bahagian sudut barang-barang keperluan harian, pekerja-pekerja pasaraya tersebut sedang sibuk menukar tanda harga di sebahagian besar barang-barang keperluan harian seperti lauk pauk dan sayur-sayuran.
Bila ditanya, kenapa tukar tanda harga baru? Jawab mereka kerana ada kenaikan harga. Oh! Begitu cepat dan mendadak sekali...
Untuk mendapatkan kepastian, hari Jumaat 6 September semalam, saya ke pasaraya yang dimaksudkan tersebut dan mendapati bahawa memang benar terdapat kenaikan harga barangan dan sungutan pelanggan boleh didengar dengan jelas.
Apa mekanisma aduan yang diguna pakai Kementerian dan menteri ini sehingga begitu mudah beliau membuat kesimpulan, tiada aduan kenaikan harga barang ekoran kenaikan harga minyak?
Apakah pegawai-pegawai terbabit benar-benar memantau atau sekadar memberikan laporan yang menyedapkan hati menteri.
Saya masih ingat, ketika krisis bekalan minyak masak di Terengganu yang saya timbulkan atas kapasiti Pengerusi Lujnah Pengguna PAS Terengganu kira-kira lebih setahun yang lalu, pegawai KPDNKK Terengganu malah menafikannya walaupun hakikatnya bekalan minyak masak memang sukar didapati.
Lebih melucukan lagi apabila mereka membawa wartawan ke sebuah pasaraya di Kuala Terengganu, bergambar sambil memegang botol minyak masak cap bunga matahari untuk membuktikan bahawa bekalan minyak ada dan mencukupi tanpa dia sedar bahawa botol yang dipegang adalah minyak bunga matahari yang harganya adalah lebih mahal berkali ganda dari minyak sawit serta tidak menjadi pilihan pengguna.
Yang kita timbulkan adalah krisis bekalan minyak sawit bukannya bekalan minyak matahari atau minyak jagung tetapi pegawai datang bergambar dengan botol minyak bunga matahari!
Hal-hal remeh seperti ini sebenarnya boleh menjejaskan kredibiliti KPDNKK di mata masyarakat umum. Pengguna tak selalunya akan datang mengadu dan pegawai-pegawai jangan hanya menunggu aduan di dalam bilik berhawa dingin. Mereka perlu proaktif turun ke lapangan kerana mereka dibayar gaji antaranya untuk tujuan itu.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
Sumber HD - 7-9-2013
KUALA LUMPUR: Teori ekonomi menyebut, sebarang kenaikan harga keperluan asas seperti contohnya minyak sebanyak 10% akan mengurangkan kuasa beli pengguna sebanyak 10% juga.
"Teori ini terpakai dalam kes tidak berlaku sebarang kenaikan harga barang," kata Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Terengganu, Dr Azman Ibrahim
(gambar).
Beliau berkata, sekiranya berlaku kenaikan harga barangan yang biasanya menyusuli kenaikan harga minyak, maka peratusan kuasa beli pengguna akan lebih menurun lagi.
"Tak perlulah pihak KPDNKK mengulang-ulang ungkapan lapuk bahawa harga barangan tak akan dinaikkan kerana minyak adalah nadi perdagangan," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Menurutnya, dengan kenaikan harga minyak sebanyak 10% maka rakyat sebagai pengguna memerlukan kenaikan gaji 10% juga, barulah kuasa beli pengguna kembali ke tahap asal dalam kes tidak berlaku peningkatan harga barangan.
Jika sebaliknya, kata beliau maka peratusan kenaikan gaji yang lebih tinggi diperlukan untuk mengimbangi semula kuasa beli pengguna.
Ini, ujarnya adalah sifir mudah untuk menggambarkan senario yang sedang dihadapi oleh rakyat semenjak detik 12:01 tengah malam semalam, 3 September 2013.
Sebagaimana biasa, kata beliau hujah pelarasan subsidi untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan negara akan digunakan sebagai alasan kenaikan.
Kerana alasan subsidi ini diulang-ulang siar, izinkan persoalan ini dikemukakan.
"Kerajaan kononnya telah membelanjakan berbilion ringgit setahun untuk bayaran subsidi minyak.
Soalannya, kepada siapakah subsidi berjumlah berbilion ini telah dibayar?" tanya beliau.
Selalunya, kata beliau jawapan yang diterima, subsidi tersebut telah dibayar kepada syarikat-syarikat minyak yang beroperasi di Malaysia. Tetapi sedarkah kita hakikat bahawa minyak adalah khazanah milik negara bukannya hak milik syarikat minyak.
"Kenapa kita ‘geger’ sangat kononnya berbilion wang kena bayar subsidi kepada syarikat minyak sedangkan minyak adalah hak milik kita?" soalnya lagi.
Menurutnya lagi, syarikat minyak hanyalah kompeni yang diberi lesen untuk carigali dan proses. Polisinya tetap di tangan kerajaan.
Katanya, di negara-negara yang harga minyaknya murah untuk kegunaan rakyat, sebahagiannya adalah dicarigali dan diproses oleh syarikat-syarikat minyak antarabangsa yang sama dengan syarikat-syarikat yang beroperasi di Malaysia.
Malah, ujarnya Petronas sendiri juga turut mengusahakan carigali minyak di negara-negara lain seperti Sudan dan Iraq.
"Adakah negara-negara tersebut ini turut membayar subsidi kepada Petronas supaya rakyat mereka boleh menikmati harga minyak yang murah?" soalnya.
Beliau menambah, semua negara-negara lain yang mengeksport minyak, mereka juga mengeksport berpandukan kepada nilai harga pasaran antarabangsa yang ditentukan OPEC, tapi setiap negara pengeluar tak tertakluk kepada peraturan harga OPEC untuk kegunaan rakyat sendiri dalam negara.
Jelasnya, negara-negara seperti Brunei, Arab Saudi dan Kuwait, mereka juga menjual minyak di pasaran antarabangsa dengan harga semasa dunia, tetapi kenapa untuk kegunaan tempatan harga yang ditawarkan negara-negara jauh lebih murah.
"Kita di Terengganu ibarat Kuwait Malaysia.
Malang sungguh apabila tiada sebarang keistimewaan yang mampu kita nikmati dari status ini.
"Sudahlah kita negeri adalah yang paling miskin di Semenanjung Malaysia, nak dapat harga minyak lebih murah untuk rakyat Terengganu adalah mimpi di siang hari," katanya.
Baginya, mustahil menjadi kenyataan selagi yang berkuasanya adalah Umno BN.
"Rakyat Terengganu sepatutnya merasa iri dengan pesatnya pembangunan di Ibu Kota yang sebahagiannya dibiayai dari hasil minyak yang dikorek dari perut bumi kita. Tapi kita hanya mampu menjadi penonton," katanya.
Akhirnya, ujar beliau janganlah diulang-ulang lagi bahawa harga minyak di Singapura dan Thailand adalah lebih mahal dari Malaysia kerana ia ibarat membandingkan harga rambutan di Kuala Berang dengan harga rambutan di Kota Singa itu.
"Di samping Singapura bukan negara pengeluar minyak, kajilah berapa pendapatan perkapita rakyat mereka. Hujah sebegini terlalu dangkal dan bodoh serta menggambarkan rendahnya tahap pemikiran pengucapnya," katanya.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
Sumber HD - 4-9-2013
Dr Azman Ibrahim, | 03 Sep 2013 |
Izinkan saya membuat analogi mudah
Sepasang suami isteri yang telah agak berusia serta bergelar datuk dan nenek memiliki satu kawasan kebun rambutan.
Kebetulan tahun ini rambutan naik harga dan laris sekali di pasaran.
Musim cuti sekolah sebagaimana biasa pulanglah anak cucu ke rumah dan tentunya rambutan atuk dan nenek akan menjadi sasaran mereka.
(Gambar hiasan)
Tahun ini disebabkan harga rambutan yang meningkat di pasaran, sebelum anak cucu balik, awal-awal lagi atuk ini telah memasang strategi.
Kebun rambutan itu dipagar. Di pintu pagar siap diletakkan tanda berapa harga sekilo rambutan mengikut harga pasaran semasa. Penimbang juga disediakan.
Sampai saja anak-anak cucu di kampung, terus mereka serbu pokok rambutan atuk. Atuk yang berfikiran kapitalis ini hanya tersenyum sambil menunggu di pintu pagar kebunnya.
“Wahai anak-anak dan cucu kesayanganku, selepas petik rambutan itu, sebelum kamu semua makan, pastikan rambutan itu ditimbang dan dibayar harganya mengikut tanda harga di pintu pagar ini,” kata atuk.
Terkejut beruklah semua anak cucu dengan karenah baru atuk mereka.
Biasanya atuk amat pemurah dan tak pernah berkira dengan cucu-cucu. Lebih teruk lagi, harga yang dipamerkan pula sama dengan harga rambutan di pasar.
“Ala atuk, tak kan dengan anak cucu pun nak berkira, mahal pulak tu harga rambutan atuk ni,” rayu seorang cucunya.
“Mahal kamu kata! Cuba kamu pergi check harga rambutan di Singapura dan di Jepun, tengok berapa harganya!” tegas saja nada suara atuk.
“Betul lah di Singapura dan Jepun harga rambutan mahal, mereka mana ada pokok…” seorang anak lelaki atuk mencelah.
“Harga rambutan atuk ini, mengikut harga semasa pasaran, bukannya atuk pandai-pandai buat naik harga sendiri. Sebelum ni sudah banyak atuk tanggung subsidi dengan bagi rambutan percuma pada kamu semua. Dari mana duit atuk nak dapat untuk beli baja, nak beli racun rumput, nak buat pagar, nak upah orang petik dan bla… bla.. bla,” atuk terus membebel.
“Betul dah tu atuk, memang rambutan dah naik harga. Tapi atuk juallah kepada orang luar mengikut harga pasaran, dengan kami anak cucu tak kan lah atuk nak berkira. Tak kan sampai atuk nak suruh kami bandingkan harga rambutan atuk dengan harga rambutan di Singapura… Lagipun kebun rambutan ini memang hak atuk. Atuk pun tak perlu tanggung bayar subsidi harga kepada sesiapa. Pelik juga kalau kebun ini milik atuk, tapi tiba-tiba Atuk kata, atuk kena tanggung subsidi, isshh!! Kepada siapa pula subsidi ni dibayar?” jawab seorang lagi cucu atuk yang kebetulan belajar ekonomi di sebuah universiti tempatan secara panjang lebar.
“Walau apa-pun kamu cakap, atuk tetap bertegas. Harga tetap tak diturunkan. Kamu semua sepatutnya bersyukur. Masih boleh balik ke rumah atuk dengan aman, kampung kita pun masih aman. Makan pakai semua cukup. Kerja makan gaji . Semua pakai kereta besar. Tandanya kamu semua mampu. Tak kan lah nak bayar harga rambutan sikit pun sudah bising!” atuk membuat keputusan muktamad.
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.
Sumber HD - 3-9-2013